June 20, 2025

UTMKL terima Anugerah Kaunter Zakat Universiti Terbaik

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menerima pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Kaunter Universiti Terbaik dalam Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2025 yang berlangsung pada 17 Jun 2025 di Hotel IDEAS, Kuala Lumpur. Anugerah tersebut disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Prof. Madya Dr. Mohd Al’Ikhsan Ghazali, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  yang mewakili universiti menerima pengiktirafan tersebut.

Ucaptama YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Prof. Madya Dr. Mohd Al’Ikhsan Ghazali terima anugerah dari YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Pengiktirafan ini adalah hasil usaha berterusan universiti dalam meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga kampus dalam menunaikan kewajipan zakat. Ia turut mencerminkan kerjasama strategik yang kukuh antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan pihak Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dalam menjayakan agenda pembangunan ummah melalui pengurusan zakat yang lebih sistematik dan tersusun.

Berdasarkan data kutipan kaunter PPZ UTMKL tahun 2024, jumlah keseluruhan kutipan zakat adalah sebanyak RM420,250.00 melibatkan 187 transaksi. Daripada semua jenis zakat yang dikutip, zakat perniagaan mencatatkan jumlah bayaran tertinggi iaitu sebanyak RM134,650.00, walaupun hanya melibatkan 7 transaksi. Ini menunjukkan purata bayaran per transaksi zakat perniagaan adalah sangat tinggi iaitu kira-kira RM19,235.71 bagi setiap transaksi. Diikuti rapat adalah zakat pendapatan dengan kutipan sebanyak RM131,375.84 daripada 109 transaksi, menjadikannya jenis zakat paling banyak dari segi bilangan penyumbang, walaupun purata bayaran per transaksi hanyalah sekitar RM1,205.29.

Sementara itu, zakat wang simpanan merupakan kategori ketiga tertinggi dari segi jumlah kutipan iaitu RM77,271.82 dengan 32 transaksi. Zakat harta dan emas masing-masing mencatat kutipan RM39,109.96 dan RM15,780.00, manakala zakat KWSP menyumbang sebanyak RM16,802.38 daripada 13 transaksi. Paling rendah adalah zakat saham yang hanya mencatat kutipan sebanyak RM5,260.00 daripada 7 transaksi, menunjukkan kurangnya kemampuan dalam kategori ini.

Sesi bergambar bersama dif-dif kehormat dan para penerima anugerah dari pelbagai universiti

Selain Anugerah Kaunter Universiti Terbaik dalam Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2025, beberapa anugerah lain turut disampaikan kepada ejen-ejen zakat terbaik yang menunjukkan prestasi cemerlang mengikut kategori masing-masing. Antaranya anugerah yang diberikan termasuklah Anugerah Saluran Offline Terbaik, Anugerah Saluran Potongan Gaji Terbaik, Anugerah Platform Digital Terbaik, Anugerah Bank Terbaik dan Anugerah Muaz bin Jabal.

YB Menteri ramah mesra bersama penerima anugerah sempena Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2025

Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2025 ini bukan sahaja mengiktiraf kecemerlangan dalam kutipan zakat, tetapi juga menjadi pemangkin kepada semangat kerjasama antara institusi, agensi dan masyarakat dalam memperkasa sistem zakat yang berimpak tinggi. Kejayaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur ini diharap akan menjadi inspirasi kepada institusi lain untuk terus memperkukuh peranan mereka dalam membina masyarakat yang lebih cakna terhadap tanggungjawab sosial dan agama.

UTM Kuala Lumpur terima Anugerah Kaunter Universiti Terbaik 2024 daripada PPZ-MAIWP

Explore More