June 11, 2025

UTM tekad perkasa akses terbuka menerusi kerjasama Springer Nature

PUTRAJAYA, 4 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Perpustakaan UTM menyambut baik dan menyokong penuh Perjanjian Akses Terbuka Nasional yang dimeterai antara Springer Nature dan Konsortium Sumber Elektronik Pendidikan Tinggi (KONSEPt), melibatkan 20 universiti awam Malaysia.

Perjanjian transformasi yang berlangsung di Palm Garden Hotel, Putrajaya ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan rantau Asia Tenggara, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperkukuh akses terbuka kepada hasil penyelidikan akademik negara. Di bawah perjanjian ini, para penyelidik dari institusi terlibat, termasuk UTM, berpeluang menerbitkan artikel mereka secara akses terbuka dalam lebih 2,000 jurnal hibrid Springer Nature tanpa dikenakan sebarang bayaran pemprosesan artikel (APC). Selain itu, mereka turut diberikan akses penuh kepada lebih 2,300 jurnal langganan dalam portfolio Springer.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, “Ini merupakan langkah penting dalam komitmen Malaysia terhadap sains terbuka dan ketelusan penyelidikan, yang seterusnya meningkatkan keterlihatan, impak dan kerjasama antarabangsa. Inisiatif ini menyokong agenda pendigitalan dan pengantarabangsaan kementerian serta kerangka National Knowledge Infrastructure (NKI).”

Ucapan perasmian oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman

Mewakili konsortium, Pengerusi KONSEPt, Puan Mazmin Mat Akhir turut menyatakan, “Perjanjian transformasi ini mencerminkan lembaran baharu bagi perpustakaan akademik bukan sahaja dalam menyediakan akses kepada penyelidikan, malah dalam memudahcara penerbitan akses terbuka. Ia memperkasa universiti untuk meningkatkan impak penyelidikan dan memperkukuh inisiatif perkongsian ilmu di peringkat global.”

Ucapan Aluan daripada Dr. Antoine Bocquet, Naib Presiden Jualan Jepun, Asia Tenggara dan Oceania dan Pengarah Urusan Springer Nature Jepun

Perjanjian ini sejajar dengan aspirasi UTM dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan terbuka, memperluas kolaborasi global serta meningkatkan keterlihatan dan impak penyelidikan universiti di peringkat antarabangsa.

Seramai 20 orang Ketua Pustakawan yang mewakili 20 universiti awam Malaysia dijemput untuk menandatangani perjanjian akses terbuka ini. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diwakili oleh Puan Zaleha Atan yang menjalankan fungsi Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM. Turut hadir ialah Encik Md Razib Karno, Timbalan Ketua Pustakawan (Perancangan dan Pembangunan) yang dilantik sebagai Approval Manager, serta dua orang Pustakawan Kanan, Puan Muzaimah Yunus dan Puan Norsyuhada Shafie.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diwakili oleh Puan Zaleha Atan, yang menjalankan fungsi Ketua Pustakawan, Perpustakaan UTM

Perpustakaan UTM, sebagai entiti utama yang mendukung inisiatif dasar Akses Terbuka, akan terus memainkan peranan yang proaktif dalam membimbing para penyelidik untuk memanfaatkan peluang ini sepenuhnya. Di samping itu, perpustakaan juga komited dalam memastikan pematuhan terhadap garis panduan penerbitan Akses Terbuka yang selaras dengan dasar institusi serta keperluan pihak penerbit.

Explore More