RABAT, MAGHRIBI, 31 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus meluaskan jaringan kerjasama global melalui kunjungan hormat Naib Canselor, YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim ke ibu pejabat The Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization (ICESCO) yang berpangkalan di Rabat, Maghribi.
Kunjungan ini diadakan atas jemputan rasmi daripada YBrs. Dr. Muhammad Shariff, Pengarah – Penasihat, Sektor Sains dan Alam Sekitar, ICESCO, dan bertujuan membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, sains dan budaya antara UTM dan ICESCO serta universiti lain dari negara-negara Islam.
Antara agenda utama yang dibincangkan termasuk pengukuhan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan pembangunan akademik, khususnya dalam bidang Teknologi Kecerdasan Buatan (AI), Teknologi Aeroangkasa, dan Geo-Advancement. Ketiga-tiga bidang ini dikenalpasti sebagai teras strategik dalam menghadapi cabaran teknologi masa depan dan pengukuhan daya saing institusi pendidikan tinggi dunia.
Dalam pertemuan tersebut, UTM turut menyatakan komitmen untuk menyertai 6th Vice Chancellors’ Forum of Universities in the Islamic World yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Jun 2025 bertempat di Ibu Pejabat ICESCO, Rabat. Forum ini merupakan platform penting dalam menyatukan suara dan strategi universiti-universiti Islam dalam memacu agenda pembangunan lestari dan transformasi pendidikan.
UTM juga menerima tawaran tiga (3) tajaan pelajar untuk menyertai program keusahawanan yang dianjurkan oleh ICESCO, membuka peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan, inovasi dan kepimpinan dalam konteks antarabangsa.
Selain itu, UTM turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan ICESCO dalam menarik kemasukan pelajar antarabangsa dari negara-negara Islam ke program pengajian lepasan ijazah di UTM. Usaha ini diharap dapat memperkukuh kedudukan UTM sebagai hab pendidikan tinggi yang inklusif, berinovasi dan bertaraf dunia.
Inisiatif kerjasama ini turut selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, ihsan dan kemampanan sebagai asas pembentukan masyarakat global yang progresif, berdaya saing dan berintegriti.
UTM komited untuk terus menjadi pemacu jaringan intelektual dunia Islam dalam bidang pendidikan tinggi melalui semangat kolaboratif dan inovatif.
Kerana Tuhan untuk Manusia
UTM Menginovasi Penyelesaian Lestari

