October 7, 2025

UTM pacu ekonomi hijau komuniti Semerah melalui minyak terpakai

SEMERAH, 21 Jun – Cabaran Minyak Lestari merupakan kesinambungan kepada Fasa 1 dan Fasa 2 Bengkel Minyak Lestari yang dilaksanakan sempena Ekspo Komuniti Nanas Semerah, dan menjadi komponen utama Fasa 3 bagi Program 1 Kolej 1 Daerah (1K1D). Program 1K1D ialah inisiatif di bawah Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang memberi tanggungjawab kepada setiap kolej kediaman untuk melaksanakan program berimpak tinggi di daerah tertentu. Dalam konteks ini, Kolej Tun Razak (KTR) telah melaksanakan program berkenaan di daerah Batu Pahat.

Cabaran Minyak Lestari berjaya membuktikan bahawa amalan hijau mampu memberi impak nyata terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti. Dengan penglibatan 14 orang peserta dari Kampung Pekan Semerah, sejumlah 292.62 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpul dalam tempoh sebulan selepas bengkel, menghasilkan pendapatan sebanyak RM936.38 melalui jualan kepada industri pemprosesan minyak terpakai, FatHopes Energy Sdn. Bhd.

Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar, Kolej Tun Razak (JKP KTR) dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri UTM (CCIN UTM), UTM International serta FatHopes Energy Sdn. Bhd. Minyak terpakai yang dikumpul telah diproses menjadi biodiesel – bahan api bersih yang berpotensi menggantikan bahan api fosil, khususnya dalam sektor pengangkutan dan penerbangan.

Seorang peserta wanita dari Kampung Pekan Semerah yang menyertai Cabaran Minyak Lestari

Berdasarkan piawaian anggaran oleh Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar United Kingdom (DEFRA UK) dan Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (EPA US), Cabaran Minyak Lestari telah mencatatkan impak positif signifikan. Antaranya, pengurangan pelepasan karbon dioksida (CO₂) ke atmosfera sebanyak 732 kg – bersamaan dengan jumlah penyerapan karbon oleh 34 batang pokok matang. Tambahan lagi, sebanyak 252 liter bahan api fosil berjaya digantikan dengan bahan api boleh diperbaharui, mampu menggerakkan kenderaan sejauh 2,915 kilometer. Dari segi tenaga, sekitar 3,160 kilowatt-jam (kWh) tenaga dijana – cukup untuk membekalkan elektrik kepada 316 rumah selama sehari.

Minyak masak terpakai yang berjaya dikumpulkan oleh komuniti Kampung Pekan Semerah untuk dijadikan biodiesel

Selain memberi manfaat kepada alam sekitar dan ekonomi, program ini turut berperanan penting dalam membina jalinan erat antara mahasiswa UTM dan komuniti setempat ke arah pembentukan persekitaran lebih lestari. Inisiatif ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti pemerkasaan komuniti dan pendidikan alam sekitar secara praktikal dan bermakna.

Sesi pemindahan minyak terpakai ke dalam lori pengumpulan, bersama sukarelawan pelbagai agensi dalam Cabaran Minyak Lestari

Cabaran Minyak Lestari juga mengangkat kesedaran bahawa bahan buangan harian seperti minyak masak boleh menjadi sumber ekonomi, tenaga, dan penyelesaian kepada krisis iklim sekiranya diurus dengan bijak. Inisiatif ini selari dengan semangat Tahun Melawat Johor 2026 yang menekankan aspek kelestarian, kerjasama komuniti, dan pembangunan mampan sebagai sebahagian daripada identiti negeri Johor.

Melalui Cabaran Minyak Lestari, universiti bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ilmu, tetapi juga pemangkin perubahan sosial dan alam sekitar. Penglibatan aktif mahasiswa dalam pemerkasaan komuniti memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai agen pembentuk masa depan yang lebih hijau, lestari dan berdaya tahan.

Oleh Ahmad Syakir Farhan dan Noorafham Noorazman

Explore More