July 5, 2025

UTM dan KPT perkukuh kerjasama serantau melalui lawatan kerja Service Learning ke Aceh

BANDA ACEH, 18 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa agenda pembelajaran berasaskan pengalaman apabila dilantik sebagai urus setia utama bagi lawatan kerja delegasi Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) ke Aceh, Indonesia.

Lawatan rasmi yang berlangsung dari 18 hingga 22 Jun 2025 ini melibatkan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersama wakil pentadbiran dan akademik UTM yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, serta rakan kerjasama strategik dari Universitas Syiah Kuala (USK), Universitas Teuku Umar (UTU) dan Universitas Tadulako (UNTAD). Fokus utama lawatan ialah memperkukuh pelaksanaan program kolaboratif International Service Learning (ISL) dan Kuliah Kerja Nyata (KKN) yang melibatkan penyertaan pelajar UTM bersama pelajar universiti rakan di Pulau Sabang.

Delegasi rasmi KPT disambut meriah oleh pengurusan tertinggi USK dan barisan fakulti yang menjadi rakan kongsi dalam program ini. Antara acara penting ialah sesi Meja Bulat Kerjasama Strategik, yang membincangkan hala tuju serta peluang perluasan kerjasama dalam bidang pengajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu dan pemerkasaan komuniti serantau. Sesi ini mengenal pasti beberapa bidang keutamaan, termasuk pembangunan modul pembelajaran bersama, pertukaran staf akademik, program mobiliti pelajar, dan pengurusan projek komuniti berimpak tinggi.

Salah satu acara kemuncak sepanjang lawatan ialah Diskusi Strategis yang diadakan pada 20 Jun 2025 di Balai Senat Universitas Syiah Kuala (USK). Sesi ini dipengerusikan oleh Prof. Dr. Ir. Agussabti, M.Si., Wakil Rektor Bidang Akademik USK, dan dihadiri oleh delegasi KPT, UTM serta wakil universiti lain.

Sesi Meja Bulat Kerjasama Strategik berlangsung bersama wakil universiti dan KPT

Diskusi ini menjadi platform penting dalam merangka model kolaborasi mampan antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Indonesia yang mampu memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi luar bandar.

Menurut Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah, pelaksanaan program ISL dan KKN bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami pengalaman khidmat komuniti rentas budaya, malah menyokong aspirasi Dasar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Malaysia. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman turut membantu pelajar mengembangkan empati, kepimpinan dan pemahaman mendalam terhadap cabaran pembangunan komuniti di peringkat serantau.

Ketua delegasi menerima cenderamata daripada pihak USK, disampaikan oleh Prof. Dr. Mudatsir, M.Kes., Ketua LPPM

Lawatan kerja ini juga membuka ruang kepada delegasi untuk menilai secara langsung keberkesanan aktiviti ISL dan KKN yang sedang berlangsung di Pulau Sabang. Delegasi turut berkesempatan melawat beberapa lokasi projek komuniti yang melibatkan pelajar UTM dan universiti rakan, termasuk program pendidikan literasi, aktiviti pembersihan kawasan pantai, serta bengkel kesihatan awam bersama penduduk setempat.

Delegasi UTM dan KPT melawat lokasi program ISL di Pulau Sabang
Delegasi dan pelajar bergambar bersama wakil komuniti semasa sesi penyerahan hasil projek ISL

UTM terus komited menjadi pemacu kerjasama pendidikan tinggi serantau yang berimpak tinggi. Pengalaman dan jaringan strategik yang terjalin melalui pelaksanaan program SULAM ini dijangka menjadi asas kukuh bagi memperluas pelaksanaan program akademik dan komuniti antara Malaysia dan Indonesia pada masa akan datang.

Penyertaan aktif Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam lawatan kerja ini turut mencerminkan kesungguhan negara dalam memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pendidikan, menyokong aspirasi pembangunan mampan serta memartabatkan peranan institusi pengajian tinggi sebagai agen perubahan yang signifikan kepada masyarakat serantau.

Explore More