JOHOR BAHRU, 13 Jun – Suasana ceria dan penuh semangat menyelubungi Pasar Malam Taman Universiti apabila hampir 60 orang kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun hadir bersama ibu bapa dan penduduk setempat bagi memeriahkan Kempen Pendidikan Pencegahan Dadah Generasi MADANI Bebas Dadah, sebuah inisiatif kesedaran komuniti yang dijalankan dalam suasana santai tetapi sarat mesej mendalam.
Kempen ini dianjurkan oleh para pelajar daripada Kursus Pendidikan Pencegahan Dadah (ULRF2322), salah satu kursus di bawah Kokurikulum Kluster Kesukarelawanan yang dikendalikan oleh Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Dibimbing oleh pensyarah kursus, Encik Muhammad Azali Kalki Abdullah, dan diselia oleh Dr. Lukman Hakim Ismail, program ini merupakan sebahagian daripada tugasan akademik berasaskan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang menekankan penglibatan aktif dalam situasi sebenar bersama masyarakat.
Majlis turut menerima sokongan padu daripada pelbagai pihak berwajib dan pemimpin tempatan yang hadir memberi dorongan moral kepada mahasiswa, termasuk Timbalan Pengarah Pusat Koreksional Johor Bahru, Penguasa Penjara Tuan Mohd Azman Nabar @ Romin; Ketua Balai Polis Taman Universiti, Insp. Khairulanuar Ahmad; Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Johor, Tuan Sharuddin Maidin; Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Universiti, En. Mahdon Hj. Tasim; serta Wakil Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), En. Fahmi.
Pelbagai aktiviti menarik telah dirangka dengan sasaran utama kempen tertumpu kepada kanak-kanak dan keluarga, bertujuan menyampaikan mesej pencegahan dadah secara kreatif dan mesra. Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat termasuklah kuiz interaktif berkaitan pengetahuan dadah, edaran risalah kesedaran, serta sesi beramah mesra dengan maskot anti-dadah, yang menjadi tumpuan bukan sahaja kepada kanak-kanak malah orang dewasa. Para ibu bapa yang hadir turut menyatakan penghargaan atas pendekatan santai namun berimpak tinggi dalam mendidik generasi muda tentang risiko penyalahgunaan dadah.

Wakil pelajar dalam ucapan penutup turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat yang terjalin bersama komuniti. “Beberapa hari sebelum kempen ini dijalankan, kami telah mengadakan kajian awal melalui kerjasama bersama pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang diketuai oleh En. Mahdon Hj. Tasim. Terima kasih kami ucapkan atas sokongan beliau,” katanya. Tambahnya lagi, “Saya bagi pihak semua peserta merakamkan jutaan penghargaan kepada Tuan-tuan dan Puan-puan yang hadir menyokong. Semoga usaha kami pada hari ini akan mencapai matlamatnya.”
Penglibatan aktif agensi kerajaan serta pemimpin komuniti di kawasan Iskandar Puteri memberikan nilai tambah yang besar kepada kempen ini. Ia bukan sahaja menepati objektif akademik, malah menjadi platform berkesan dalam memperkasa kesedaran awam terhadap bahaya dadah serta membina jaringan kerjasama yang erat antara universiti, komuniti dan agensi penguat kuasa. Kempen ini juga seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, yang menekankan pembentukan masyarakat penyayang dan bertanggungjawab dalam membanteras gejala sosial.
Diharapkan program seperti ini dapat dijadikan contoh kepada penganjuran lebih banyak inisiatif pendidikan komuniti yang bersifat holistik, inklusif dan lestari, dalam usaha melahirkan generasi bebas dadah dan berdaya tahan.
