June 12, 2025

Lawatan Naib Canselor UTM perkukuh hala tuju akademik dan penyelidikan fakulti

JOHOR BAHRU, 11 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus komited memperkukuh perancangan strategik fakulti melalui sesi libat urus bersama pengurusan tertinggi universiti. Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah mengadakan kunjungan kerja rasmi ke Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) serta Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), UTM Johor Bahru dalam usaha memperkukuh hubungan strategik antara pihak pengurusan universiti dan fakulti.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Ketua Pentadbiran Canseleri, En. Abdul Jalil Maulani; serta Menjalankan Fungsi Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Farhana Diana Deris. Rombongan disambut oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali dan Dekan FKM, Prof. Ir. Ts. Dr. Zaini Ahmad bersama barisan pengurusan fakulti masing-masing.

Bagi lawatan ke FKM, sesi ini membuka ruang perbincangan terbuka dan konstruktif berkenaan pelbagai isu semasa di peringkat fakulti, termasuk pengurusan sumber manusia, keperluan dalam aspek penyelidikan dan penyeliaan pelajar pascasiswazah, serta hala tuju pembangunan fakulti ke hadapan.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh pihak fakulti, antara perkara yang ditekankan ialah komitmen untuk terus melonjakkan kualiti akademik dan penyelidikan. FKM turut diminta meningkatkan enrolmen pelajar PhD kepada 500 orang – satu langkah penting bagi memperkukuh reputasi penyelidikan universiti di peringkat global.

Perbincangan turut menyentuh keperluan untuk memanusiakan penyelidikan (humanising research) dengan menekankan nilai kemanusiaan, impak sosial dan kelestarian. Pendekatan ini selari dengan aspirasi UTM untuk memastikan penyelidikan bukan sahaja menjawab keperluan teknologi semasa, tetapi juga memberi manfaat nyata kepada masyarakat.

Naib Canselor dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap usaha dan pencapaian FKM serta menyeru seluruh warga fakulti untuk terus memainkan peranan penting dalam membentuk penyelesaian lestari yang berteraskan nilai dan kesejahteraan sejagat.

Naib Canselor bersama barisan pengurusan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
Taklimat fakulti yang disampaikan oleh Dekan FKM

Bagi lawatan ke FABU, kunjungan ini dimanfaatkan untuk mendengar pembentangan menyeluruh oleh pihak fakulti yang merangkumi pencapaian utama, perkembangan semasa serta cabaran yang sedang dihadapi. Antara isu yang diketengahkan termasuklah keperluan sumber manusia, pengukuhan penyelidikan dan penyeliaan, serta keperluan fasiliti bagi menyokong pertumbuhan akademik dan profesional dalam bidang alam bina dan ukur.

Perhatian khusus diberikan kepada pelan strategik FABU menjelang tahun 2030 yang menekankan integrasi teknologi dalam pendidikan, kelestarian dalam reka bentuk dan pembangunan, serta pengukuhan kerjasama dengan industri dan masyarakat. Pendekatan ini turut mendukung komitmen UTM dalam memanusiakan penyelidikan (humanising research) yang memberi impak sebenar kepada kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.

Naib Canselor menyatakan penghargaan terhadap usaha fakulti dalam membina ekosistem ilmu yang tidak hanya menumpukan kepada kecemerlangan teknikal, tetapi juga mengangkat nilai kemanusiaan sebagai teras penyelesaian lestari. Beliau menegaskan bahawa penyelidikan dan pendidikan yang bersifat inklusif dan berorientasikan kesejahteraan adalah kunci kepada masa depan yang lebih mampan.

Dalam kesempatan yang sama, Naib Canselor turut menyantuni calon-calon pelajar serta ibu bapa yang hadir bagi sesi temu duga kemasukan ke FABU yang berlangsung pada hari tersebut. Beliau meluangkan masa beramah mesra dan menyampaikan kata-kata dorongan kepada para pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di UTM.

Kunjungan ini mencerminkan komitmen UTM dalam memastikan setiap fakulti bergerak seiring dengan matlamat institusi dan keperluan masa hadapan negara. Selain menjadi platform komunikasi dua hala, sesi sebegini turut memperkukuh hubungan antara kepimpinan universiti dan warga fakulti dalam semangat kebersamaan dan kolaborasi.

Naib Canselor menyantuni calon pelajar yang sedang menjalani Ujian Aptitud
Naib Canselor bersama barisan pengurusan Fakulti Alam Bina dan Ukur
Taklimat menyeluruh oleh Dekan FABU kepada rombongan pengurusan universiti

Explore More