May 22, 2025

JOHOR BAHRU, 17 Mei ─ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul satu-satunya universiti penyelidikan negara yang mencatat pengiktarafan 5 Bintang dalam Penilaian Kualiti Data MyMoheS oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi tempoh pelaporan sehingga Disember 2024.

Pencapaian itu melayakkan UTM menerima penarafan 5 Bintang selepas memperoleh markah penuh 100% dalam semua kriteria dan modul yang dinilai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), menjadikan Universiti ini sebagai penanda aras dalam pengurusan dan pelaporan data berkualiti tinggi.

Sistem MyMoheS atau Malaysian Ministry of Higher Education Data System merupakan sistem maklumat kebangsaan yang dibangunkan KPT bagi menyelaras dan menilai kualiti data universiti awam Universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti secara sistematik, cepat dan tepat.

Sistem ini juga memudahkan penyaluran dan perkongsian data atau maklumat antara KPT dengan pelbagai agensi kerajaan yang lain, seterusnya membantu KPT membuat keputusan dengan lebih tepat dan pantas.

Penilaian dilakukan berdasarkan empat modul utama iaitu Modul Pelajar, Modul Staf, Modul Penyelidikan dan Pembangunan serta Pengkomersialan, dan Modul Institusi, yang mengambil kira aspek ketepatan, kesempurnaan dan pematuhan jadual penyaluran data.

Meskipun dengan pertambahan beberapa format baharu dan penilaian yang lebih terperinci, UTM masih mampu mengekalkan status pengiktirafan 5 Bintang.

Bertindak sebagai urus setia induk, Pusat Pengurusan Data Universiti (PPDU), di bawah Jabatan Pendaftar menyifatkan sinergi antara pemilik modul, penyedia data, pusat ini sendiri menjadi unci kepada pengurusan data yang berkesan di universiti ini. Dengan tadbir urus data yang kukuh dan kerjasama yang erat, universiti dapat memanfaatkan data sebagai aset strategik untuk meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong keputusan strategik.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, kejayaan ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya kerja berasaskan data dan tadbir urus digital yang mantap.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga UTM yang sentiasa mengutamakan ketepatan, kesempurnaan dan ketelusan dalam pelaporan data kepada kementerian.

“Pencapaian 5 Bintang ini bukan sahaja mengangkat reputasi UTM sebagai universiti penyelidikan berprestasi tinggi, malah memberi keyakinan kepada pihak berkepentingan terhadap keupayaan universiti dalam pengurusan data yang berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam era digital yang serba pantas, keupayaan mengurus dan menganalisis data secara sistematik adalah asas penting dalam menentukan hala tuju strategik sesebuah institusi pendidikan tinggi.

“Kualiti data yang tinggi memberi kesan langsung kepada keberkesanan dasar, pelan tindakan dan penilaian prestasi universiti secara keseluruhan.

“UTM akan terus memperkukuh sistem dalaman dan mengekalkan budaya penambahbaikan berterusan agar pencapaian cemerlang ini dapat dikekalkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, turut menzahirkan penghargaan atas kerjasama erat antara pelbagai jabatan dan pusat tanggungjawab universiti, khususnya Pejabat Pengurusan Data Universiti (PPDU) yang memainkan peranan penting dalam menyelaras penyediaan data berkualiti tinggi.

“PPDU telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam memastikan setiap data yang dikemukakan kepada KPT adalah menepati standard dan keperluan penilaian yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan ini adalah hasil sinergi dan koordinasi menyeluruh pihak-pihak yang terlibat di pelbagai peringkat, yang sentiasa berusaha mengekalkan standard tertinggi dalam tadbir urus data institusi.

“Pencapaian ini menjadi dorongan penting kepada Jabatan Pendaftar dan PPDU untuk terus memperkukuh amalan pengurusan data yang berintegriti, selari dengan aspirasi universiti ke arah pendigitalan dan kecemerlangan sistem sokongan keputusan berasaskan data,” ujarnya.

Kejayaan ini secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan UTM dalam kalangan universiti berprestasi tinggi serta terus memperkasa kewibawaan di persada global.

Explore More