June 13, 2025

MechaMind pupuk minat STEM dalam kalangan murid sekolah rendah

JOHOR BAHRU, 24 Mei – Seramai 25 orang pelajar Kursus Budi Penyayang ULRF 2252 dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah bimbingan Ts. ChM. Dr. Nor Suriani Sani telah berjaya melaksanakan program pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang dinamakan MechaMind: Where Machine Meets Genius, bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Impian Emas, Skudai pada 24 Mei 2025.

Program anjuran Kelab Budi Penyayang ini turut dijalankan dengan kerjasama pasukan OTORAYA Autonomous Vehicle (OAV) yang terdiri daripada lima orang ahli. Ia bertujuan memperkenal teknologi kereta swapandu serta kecerdasan buatan (AI) kepada pelajar sekolah rendah melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan. Objektif utama program ini adalah untuk memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan pemahaman pelajar terhadap aplikasi teknologi dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai aktiviti yang dirancang dengan teliti dan penuh kreativiti, penganjur berusaha mewujudkan suasana ceria, inklusif dan menyeronokkan, di mana setiap individu berpeluang melibatkan diri secara aktif.

Ahli Kelab OTORAYA mempersembahkan teknologi OAV kepada pelajar sekolah

Sesi perbincangan awal dan penyelarasan program telah diadakan pada 8 April 2025 di Bilik Kuliah 1, Blok E07, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UTM. Dalam sesi tersebut, pelajar berbincang bersama Kelab OTORAYA yang diketuai oleh Ts. Dr. Ahmad Humaizi Rozaini bagi memastikan penyampaian program sesuai dengan tahap kefahaman pelajar sekolah rendah serta berimpak tinggi. Strategi dan pendekatan yang lebih tersusun turut dibincangkan agar pelaksanaan program selaras dengan keperluan warga sekolah dan mencapai objektif yang ditetapkan secara berkesan.

“Murid-murid di sekolah ini amat menggemari aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal dan pada masa yang sama memerlukan kemahiran berfikir untuk menyelesaikan tugasan. Aktiviti berkonsepkan permainan intelektual ini bukan sahaja mencetuskan keseronokan, malah berjaya merangsang daya pemikiran dan semangat bersaing secara sihat dalam kalangan murid,” ujar salah seorang guru Sekolah Kebangsaan Taman Impian Emas dalam sesi temu bual bersama pengarah program.

Pada hari pelaksanaan program, pelbagai aktiviti menarik telah dikendalikan oleh mahasiswa UTM yang melibatkan penyertaan 80 pelajar sekolah. Aktiviti seperti Sensor Hunt, Word Search bertemakan robotik, Robot Maze, serta demonstrasi teknologi Autonomous Vehicle (OAV) secara langsung oleh Kelab OTORAYA telah mencipta pengalaman yang bermakna buat warga sekolah. Keunikan dan kepelbagaian aktiviti ini bukan sahaja mencetuskan keterujaan, malah turut memupuk minat awal terhadap bidang STEM, selari dengan inisiatif pendidikan STEM Kebangsaan.

“Terima kasih kerana menyediakan aktiviti yang menarik dan melayani kami dengan sangat ramah,” ujar salah seorang murid dalam sesi soal selidik yang dijalankan bagi menilai impak program. Luahan spontan ini mencerminkan kegembiraan dan penghargaan tulus daripada murid-murid terhadap usaha serta komitmen para pelaksana. Ia sekali gus menjadi petunjuk bahawa pendekatan yang digunakan berjaya mewujudkan suasana yang menyeronokkan, mesra dan bermakna buat mereka.

Pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Impian Emas bersemangat mencari nama komponen-komponen elektrik dalam permainan silang kata sambil dibantu pelajar Kursus Budi Penyayang

Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhamad Azizi Mat Yajid, Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), yang turut mengucapkan tahniah atas usaha para pelajar UTM dalam menjayakan program yang memberi impak positif kepada komuniti sekolah rendah.

Kumpulan pelajar yang mengungguli keseluruhan aktiviti menerima penghargaan

Pelaksanaan program MechaMind bukan sekadar menyemai pengetahuan, tetapi turut memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan masyarakat melalui pendekatan pendidikan yang bersifat menyeluruh dan bermakna. Inisiatif ini sekali lagi membuktikan bahawa pendidikan luar bilik darjah mampu membuka ruang eksplorasi yang luas, memperkasa komuniti dan menyuntik inspirasi kepada generasi muda dalam memahami realiti dunia teknologi masa kini.

Ahli Kelab Budi Penyayang bergambar kenangan bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Impian Emas

Explore More