JOHOR BAHRU, 15 Mei – Mahasiswa UTM terus menunjukkan kesungguhan menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu kos sara hidup melalui penglibatan aktif dalam sesi Bual Bicara Pengguna bersama YB Senator Hajah Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Sesi anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Johor ini telah menghimpunkan pelbagai pihak, termasuk lapan orang wakil mahasiswa Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM, di Hotel Trove, Johor Bahru.
Pelajar UTM diberi peluang melihat secara langsung bagaimana inisiatif kerajaan seperti Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) digerakkan di dalam kampus. Program ini menawarkan diskaun 10% hingga 30% bagi barangan keperluan asas dan turut berlandaskan konsep Kedai Cari Rakyat, iaitu satu pendekatan runcit yang memastikan akses mudah, harga berpatutan dan memenuhi keperluan sebenar pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah dan mahasiswa.
“Melalui PJRM, kita bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan barangan pada harga lebih rendah, malah berjaya mengurangkan tekanan kos sara hidup, terutamanya golongan B40,” kata YB Senator. Di Johor, program ini telah memberi impak besar dengan penjimatan melebihi RM15.4 juta.
Namun, YB Senator turut berkongsi bahawa pelaksanaan program ini berdepan beberapa cabaran.
“Cabaran utama adalah memastikan rantaian pembekalan kekal stabil supaya barangan sentiasa mencukupi, selain menggalakkan lebih banyak peruncit dan pengeluar terlibat aktif dalam konsep Kedai Cari Rakyat dan PJRM,” ujarnya.
Pemantauan harga dan kualiti barangan juga perlu dilakukan secara berterusan agar rakyat benar-benar mendapat manfaat. Peluang seperti ini membuka ruang untuk mahasiswa bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi terlibat secara langsung dalam usaha membentuk ekosistem pengguna yang lebih berdaya tahan.

Bagi mahasiswa UTM, konsep PJRM @ Kampus dilihat amat relevan dan dekat dengan situasi harian mereka. Akses kepada barangan pada harga mesra pelajar amat membantu dalam persekitaran kampus yang turut berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup. Kehadiran Kedai Cari Rakyat di dalam atau sekitar kampus diyakini mampu memberi kesan positif yang berterusan sekiranya diperluas dan diperkasakan.
Menarik perhatian mahasiswa, YB Senator turut melontarkan cabaran kepada mahasiswa, khususnya Gerakan Pengguna Siswa Negeri Johor, untuk menerajui program MySaveFood @ Pasar Malam.
“Sebelum ini, pada bulan Ramadan, kita berjaya menjayakan program MySaveFood @ Bazaar. Kali ini, saya ingin mencabar moderator kita, Insyirah, dan rakan-rakan mahasiswa UTM serta universiti lain supaya tampil ke hadapan menjayakan MySaveFood di pasar malam pula,” ujar beliau.
Program ini memberi peluang kepada mahasiswa menyelamatkan makanan lebihan yang masih selamat dimakan, untuk diagihkan semula kepada komuniti dan rakan pelajar yang memerlukan.


Wakil Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UTM turut hadir aktif dalam sesi ini, memberikan pandangan serta komitmen untuk bersama menjayakan program MySaveFood di peringkat kampus dan komuniti. Penglibatan aktif mahasiswa UTM ini turut memperlihatkan kesediaan generasi muda mendukung inisiatif kerajaan dalam membangun masyarakat yang lebih sejahtera dan lestari. Selain membina kesedaran tentang kelestarian makanan, inisiatif ini turut menggalakkan pelajar mengasah empati dan rasa tanggungjawab sosial.
Respon positif mahasiswa dalam sesi ini mencerminkan kesediaan belia untuk menjadi agen perubahan sosial yang proaktif. Dengan gabungan antara Program Jualan Rahmah Madani dan penglibatan aktif mahasiswa dalam pelbagai program kerajaan, masyarakat kini bergerak seiring dalam usaha menangani isu kos sara hidup. Mahasiswa UTM kini diberi peluang bukan sekadar menjadi pemerhati, tetapi turut berperanan sebagai sebahagian daripada solusi.
Perkongsian pentas antara pembuat dasar dan mahasiswa seperti ini tidak sekadar merapatkan jurang komunikasi antara generasi, malah memperlihatkan bagaimana suara belia dapat digembleng secara konstruktif dalam menangani isu-isu rakyat. Kesedaran, penglibatan dan tindakan yang berpaksikan ilmu menjadi cerminan kematangan mahasiswa dalam mendepani realiti semasa.
