📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan inisiatif “Kampus Tropika yang Memukau” untuk memacu geopelancongan, memanfaatkan kepelbagaian landskap dan aset universiti sebagai tarikan ilmiah serta rekreasi. Inisiatif ini bertujuan untuk menjana pendapatan lestari, memberikan pengalaman pembelajaran holistik, dan menjadikan kampus sebagai pusat pelancongan sains dan teknologi utama. UTM juga sedang membangunkan projek pertanian komersial durian dan meningkatkan kemudahan lain demi kesejahteraan warga universiti dan masyarakat.
JOHOR BAHRU, 24 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) terus mengorak langkah strategik dengan melancarkan inisiatif “Kampus Tropika yang Memukau” atau Enticing Tropical Campus semasa program Melakar Impian.
Amanat tersebut disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. P.Geol. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad di Dewan Sultan Iskandar. Beliau mengetengahkan aspirasi untuk menjadikan kampus sebagai ruang pembelajaran berasaskan pengalaman yang dinamik, selari dengan aspirasi “From the Underground Treasures to the Outer Space, Experiential Learning.”
Geopelancongan diperkenalkan sebagai konsep pelancongan yang menyeluruh, merangkumi penerokaan khazanah bumi dari perut bumi hingga ke angkasa. Konsep ini meliputi elemen geologi, topografi, flora dan fauna serta keseluruhan ekosistem termasuk manusia sebagai sebahagian daripada komponen budaya dan persekitaran. Pendekatan ini bersesuaian dengan kedudukan UTM yang memiliki kepelbagaian landskap semula jadi, kemudahan penyelidikan serta infrastruktur pendidikan yang berpotensi diketengahkan sebagai tarikan ilmiah dan rekreasi.
Inisiatif ini bukan sahaja meneraju geopelancongan dalam kampus, malah turut berperanan sebagai strategi penjanaan pendapatan lestari yang memanfaatkan aset universiti. Selain memberi impak ekonomi, pendekatan ini juga memberikan pengalaman pembelajaran holistik kepada pelajar dan pengunjung.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Edy menekankan bahawa dua aspek utama menjadi tunjang kepada usaha ini, iaitu penyampaian perkhidmatan yang cekap serta pemanfaatan aset dan sumber secara optimum. Kejayaan projek terdahulu membuktikan potensi besar UTM dalam melaksanakan inisiatif berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada warga universiti dan masyarakat luar.

Seiring dengan tema Kampus Tropika yang Memukau, UTM merancang untuk memperkasakan geopelancongan dengan mengetengahkan keunikan kampus seluas 3,000 ekar di Johor Bahru. Dengan memanfaatkan khazanah alam semula jadi, termasuk sumber air bawah tanah serta balai cerap untuk penerokaan astronomi, UTM berhasrat menjadikan kampus sebagai tarikan utama dalam bidang pelancongan sains dan teknologi.
Dalam merealisasikan agenda ini, UTM telah menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia, Kerajaan Negeri Johor serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Johor (MOTAC Johor). Langkah ini juga sejajar dengan inisiatif Edu-Tourism yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai strategi utama dalam memperkasa institusi pendidikan tinggi di Malaysia.
Dalam usaha menjana pendapatan universiti, UTM turut mengambil pendekatan inovatif dengan memanfaatkan tanah kampus untuk pertanian komersial. Projek penanaman durian Musang King dan IOI seluas 60 ekar kini berada dalam peringkat akhir, dengan 1,400 pokok telah ditanam dan 600 lagi dalam perancangan. Jika berjaya, UTM bakal menjadi pengeluar durian premium terbesar di Johor. Selain berpotensi sebagai sumber pendapatan baharu, projek ini juga dapat dimanfaatkan sebagai elemen pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang agrikultur, sekali gus memperkukuh daya saing universiti dalam aspek ekonomi dan inovasi.
Dalam aspek keselamatan kampus, UTM terus mengambil langkah proaktif dengan menangani isu bahan kimia berbahaya, seperti asid pikrik, melalui kerjasama erat dengan Jabatan Bomba serta beberapa agensi berkaitan. Usaha ini membuktikan komitmen universiti dalam memastikan kesejahteraan warga kampus sentiasa terpelihara. Selain itu, setiap bahagian, unit dan seksyen dalam UTM diberikan tugasan khusus bagi memastikan kelancaran pelaksanaan perancangan strategik universiti. Pihak pengurusan turut menekankan kepentingan penambahbaikan berterusan dalam semua aspek bagi memastikan kemajuan institusi tidak terhalang.

Dalam masa yang sama, perkhidmatan pengangkutan universiti turut dipertingkat dengan penambahan bas baharu bagi kemudahan pelajar di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Pembelian bas telah diluluskan dan proses perolehan sedang dijalankan bagi menentukan spesifikasi terbaik untuk kegunaan kampus. Universiti juga dalam proses mendapatkan ambulans baharu bagi menggantikan kenderaan lama di Pusat Kesihatan Universiti (PKU), dengan harapan dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan di kampus.
Bagi memastikan persekitaran kampus yang lebih bersih dan teratur, Seksyen 3K (Kelestarian, Keindahan, Kampus) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif yang menyumbang kepada kelestarian kampus. Seksyen Hartanah turut mencatat pencapaian apabila berjaya menyelesaikan projek pembangunan tanah di Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Penawar. Kejayaan ini menjadi bukti kecekapan universiti dalam mengurus dan membangunkan hartanah miliknya untuk manfaat jangka panjang.
Menjelang tahun 2025, UTM merancang untuk memberi fokus kepada peningkatan fasiliti sukan di seluruh kampus, termasuk stadium, gimnasium serta padang dan gelanggang di kolej kediaman. Usaha ini bertujuan memastikan semua kemudahan berada dalam keadaan terbaik untuk digunakan oleh mahasiswa dan staf. Pada hari tertentu, mahasiswa dapat menggunakan kemudahan ini tanpa bayaran. Selain itu, universiti juga akan meningkatkan kemudahan pembelajaran bagi memberikan pengalaman akademik yang lebih baik kepada mahasiswa.
UTM kekal komited dalam memastikan setiap aspek pengurusan dan fasiliti kampus terus dipertingkat demi kesejahteraan mahasiswa dan warga universiti. Dengan kerjasama semua pihak, universiti yakin dapat mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2025. Sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif, UTM terus mengorak langkah ke hadapan dengan memperkukuh daya saing melalui pelbagai inisiatif inovatif. Dengan pendekatan holistik ini, universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan akademik, malah sebagai pemacu utama dalam sektor geopelancongan dan ekonomi lestari di Malaysia.
