UTM Lancar Pejabat Satelit Pertama di Universitas Malang (UM), Indonesia

MALANG, 9 September 2022 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Negeri Malang (UM) Indonesia melakar sejarah hari ini dengan pelancaran Pejabat Satelit UTM pertama di Indonesia bertempat di UM.

Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, pelancaran Pejabat Satelit pada hari ini menunjukkan komitmen utuh dalam menyuntik serta memperkasakan kecemerlangan di kedua-dua Universiti. Prof Ahmad Fauzi berkata, “secara tidak langsung, ianya turut menyumbang kepada sosio-ekonomi masyarakat, rakyat serta keseluruhan kehidupan di dunia.”

Acara hari ini juga dilihat bertepatan pada masanya kerana Pejabat Satelit UTM di UM ini “merupakan salah satu model hubungan strategik berimpak bersama universiti antarabangsa terhadap indikator ranking – pengantarabangsaan.” tambah beliau lagi.

Rektor UM, Prof. Dr. AH. Rofi’uddin dalam ucapannya turut menyampaikan hasrat agar Pejabat Satelit UTM di UM bukan sahaja memfokuskan kepada output penyelidikan yang lazim seperti penerbitan tetapi berupaya untuk menyemarakkan lagi aktiviti penyelidikan dan yang memberikan impak kepada komuniti dan masyarakat setempat.

Turut hadir dari UTM adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md. Illias, Pro-Naib Canselor (UTM Kuala Lumpur), Prof. Ts. Dr. Abdul Latif Saleh, Ketua Pentadbiran Canseleri UTM, Jaffrey Samsul Bahrin serta delegasi pensyarah dari Fakulti Sains dan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM.

Majlis ini dianjurkan sempena dengan “UTM VC ASIA Tour 2.0@ Indonesia” yang bermula pada 8 hingga 12 September 2022 dan diketuai oleh Naib Canselor UTM.

Naib Canselor UTM dan Rektor UM bersama barisan Pengurusan Universiti di Pejabat Satelit UTM
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail menyampaikan ucapan kepada warga UM dan UTM
Delegasi UTM bersama warga UM