April 25, 2024

Search
Close this search box.

Kolokium Antarabangsa Pendidikan Matematik FSSK-UNM 2021: Meningkatkan Kolaborasi Dalam Penyelidikan

Oleh: Adjah Naqkiah, Najua Syuhada Ahmad Alhassora, Mohd Rustam Mohd Rameli, Mohd Rasidi Pairan, Chuzairy Hanri, Nur Hazirah Noh@Seth, Ibnatul Jalilah Yusof

Dalam dunia akademia, kolaborasi penyelidikan merupakan satu platform bagi menjalankan kerjasama antarabangsa. Atas dasar itu, kerjasama menerusi Kolokium Antarabangsa Pendidikan Matematik (International Mathematics Education Colloquium) yang bertemakan Enhancing Collaboration among Mathematics Education Researchers telah diadakan antara Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam, Universitas Negeri Makassar (UNM), Indonesia. Program ini dijalankan secara dalam talian pada hari Isnin, 26 April 2021.

Program ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Prof. Dr. Zaidatun Tasir, Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM dan Dr. Suwardi Annas, Dekan, Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam, UNM, Indonesia. Selain itu, dua orang pakar dalam bidang Matematik dari UTM dan UNM telah dijemput sebagai penceramah jemputan.

Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Prof. Madya. Dr. Abdul Halim Abdullah dari UTM, Malaysia adalah berkaitan perbandingan kemahiran berfikir aras tinggi Matematik antara pelajar sekolah menengah di Malaysia dan Korea Selatan. Sementara itu, perkongsian yang disampaikan oleh Dr. Sabri dari UNM, Indonesia adalah berkenaan dengan pembinaan konsep dalam tajuk Fungsi.

Pelaksanaan program ini telah berjaya melibatkan penyelidik dan mahasiswa dari dua buah negara khususnya dalam bidang Pendidikan Matematik. Matlamat utama kolokium ini bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli akademik, penyelidik dan mahasiswa berkongsi pengalaman dan kemahiran dalam bidang Pendidikan.

Kolokium antarabangsa ini menjadi wadah kepada pertukaran pengetahuan dalam bidang pendidikan melalui ucaptama dan sesi perkongsian pembentangan penyelidik dari kedua-dua universiti.

Selain itu, penganjuran program ini dapat menonjolkan bidang kepakaran serta meluaskan kerjasama dan jaringan bagi tujuan penyelidikan, penerbitan dan penulisan pada masa akan datang. Justeru itu, perkongsian ilmu kolokium ini berfokuskan kepada isu-isu semasa dalam pendidikan Matematik, pembelajaran Matematik dalam talian, penilaian alternatif, kemahiran berfikir aras tinggi, pembelajaran abad ke-21 dan psikologi Matematik.

Program yang telah dipimpin oleh Dr. Najua Syuhada Ahmad Alhassora ini telah berjaya menarik seramai 1.5K penonton di Facebook Live FSSKdan 200 peserta melalui aplikasi Cisco WeBex.

Penganjuran kolokium antarabangsa yang mendapat sambutan positif jelas menunjukkan bahawa program ini mendapat sokongan yang baik dan seharusnya diteruskan serta diterapkan dalam penyebaran ilmu secara global tanpa sempadan.

Prof. Dr. Fatin Aliah Phang selaku Pengerusi, Sekolah Pendidikan, FSSK telah menyampaikan ucapan penutup dengan menyatakan hasrat agar kerjasama antara dua buah universiti ini akan berterusan.

Kolokium ini diharap menjadi satu ruang dan peluang yang baik untuk memahami dan mempelajari pengalaman penyelidikan dan pendidikan masa kini.

Explore More