April 20, 2024

Search
Close this search box.

Sempena bulan Autisme sedunia baru-baru ini, Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali, pensyarah kanan di Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Pembangunan) di Unit UTMAlumni, telah menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Pesona XY di Radio Televisyen Malaysia pada 10 April 2021 bagi membincangkan mengenai isu yang bertajuk “Anakku Autisme”.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif DF & K Group Sdn Bhd, syarikat hiliran UTM yang mempunyai satu pusat terapi untuk kanak-kanak berkeperluan khas, bersama-sama seorang bapa kepada anak Autisme telah dijemput pada rancangan berkenaan untuk mengupas mengenai topik Autisme yang kian mendapat perhatian masyarakat zaman sekarang disebabkan oleh peningkatan jumlah kanak-kanak yang menghidap Autisme di Malaysia setiap tahun.

Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali pada awal rancangan berkata, “Autisme adalah satu gangguan perkembangan neuro di mana ianya akan memberi kesan kepada tingkahlaku, sosial dan komunikasi anak-anak.

Untuk mengenalpasti samada anak kecil kita menghidap Autisme ataupun tidak, penting bagi ibu bapa untuk prihatin dengan perkembangan anak mereka sejak kecil kerana Autisme dapat dikenalpasti seawal 18 bulan.”

Masalah perkembangan neuro ataupun lebih dikenali sebagai Autisme ini menjadi kerisauan ibu bapa kerana mereka bimbang akan kemampuan anak mereka untuk menguruskan diri mereka sendiri apabila mereka meningkat dewasa. Umum mengetahui bahawa kanak-kanak yang menghidap Autisme ini mempunyai masalah untuk menguruskan diri mereka dan berdikari untuk menjalankan aktiviti seharian. Justeru, ramai ibu bapa yang risau mengenai masa depan anak mereka apabila mereka meningkat dewasa.

Semasa perbincangan bersama hos rancangan tersebut, Ts. Dr. Dayana Farzeeha Ali juga ada menyebutkan mengenai kekangan untuk menjalani terapi di hospital kerajaan yang memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan sesi terapi serta kos terapi yang tinggi di pusat terapi swasta. Berdasarkan pengalaman beliau, rata-rata ibu bapa berpendapatan rendah tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka untuk mendapatkan terapi di pusat terapi swasta.

Justeru, sebagai pemilik pusat terapi MindCare Centre yang terletak di Skudai, Johor, beliau telah memulakan inisiatif dengan mengenakan yuran yang rendah sesuai dengan kemampuan keluarga berpendapatan rendah, serta memberikan penajaan kepada keluarga yang berada di dalam golongan B40 yang betul-betul memerlukan bantuan. Penajaan yang diberikan oleh beliau adalah dari segi penajaan sesi terapi itu sendiri. Ini kerana beliau berasa bertanggungjawab untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan bagi memastikan kanak-kanak ini mendapat terapi yang mereka perlukan untuk masa depan mereka.

Beliau juga ada menekankan beberapa masalah utama dalam kalangan ibu bapa pada masa sekarang di mana terdapat ramai ibu bapa yang tidak prihatin dengan perkembangan anak mereka yang mengakibatkan masalah anak mereka lambat dikesan justeru memberi kesan buruk kepada anak mereka. Ini kerana terapi lebih berkesan jika dimulakan lebih awal.

Selain daripada itu, terdapat masalah seperti ibu bapa yang tidak mahu menerima kenyataan bahawa anak mereka mempunyai masalah perkembangan. Perkara sebegini akan memberi kesan kepada masa depan anak mereka kerana kanak-kanak Autisme memerlukan didikan dan penjagaan yang berlainan berbanding kanak-kanak normal.

Di akhir rancangan tersebut, beliau sekali lagi menekankan bahawa “apabila ibu bapa dapat mengesan simptom-simptom kelewatan perkembangan dalam diri anak mereka, ibu bapa perlu cepat-cepat untuk berjumpa dengan pakar kanak-kanak bagi mengenalpasti apakah punca kelewatan perkembangan tersebut”.

Melalui penampilan beliau di dalam rancangan ini, diharapkan ibu bapa lebih peka dengan masalah perkembangan anak masing-masing dan sama-sama memberi sokongan moral kepada ibu bapa yang mempunyai anak Autisme ataupun berkeperluan khas.

Panel Jemputan dan host Pesona XY
ketika sesi penerangan oleh Ts. Dr. Dayana

Explore More