Kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada pada 19 september 2018 telah meragut sebahagian kaki kanannya dan keupayaan beliau untuk meneruskan kehidupan seperti manusia biasa.

Namun keadaan tersebut sedikitpun tidak pernah membantutkan usaha mahupun melunturkan semangat Elia Nurul Syahida binti Nasruddin mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang arkitek.

Beliau merupakan salah seorang pelajar yang hadir dengan bantuan kaki palsunya bagi mendaftar sebagai pelajar baharu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi2019/2020 dalam program Sarjana Muda Senibina Landskap.

Anak kedua dari tiga adik-beradik tersebut yang berasal dari Segamat bersyukur dengan peluang yang diberikan UTM untuk meneruskan pengajian dan mengejar cita-citanya.

“UTM adalah sebuah universiti yang mempunyai persekitaran yang baik dengan warganya yang peramah,” kata beliau.

Beliau juga sedar dengan cabaran besar yang bakal menanti seorang pelajar kelainan upaya, namun tetap positif dan akan hanya memfokus kepada masa hadapan.

Menurut Elia Nurul Syahida, beliau menjalani rawatan fisio di Hospital Rehabilitasi Cheras selama sebulan bermula Oktober 2018 serta latihan kaki palsu selama tiga bulan bermula Januari 2019.

Menurut ibu beliau, Ezarozini binti Hamzah, Eila merupakan seorang anak yang sangat tabah di mana pada awal kes kemalangan tersebut, beliau tidak meratapi keadaan fizikal sebaliknya sentiasa bersifat positif.

“Eila agak malu dan sedikit kekok kerana kekurangannya itu sering menjadi perhatian ketika berada di tempat awam.

Namun saya menguatkan semangat beliau bahawa keadaan beliau amat istimewa dan saya percaya beliau akan mampu mengatasi apa sahaja cabaran beliau pada masa hadapan.

Sebagai seorang ibu, pastinya ada perasaan risau untuk melepaskan beliau melanjutkan pelajaran seorang diri di sini, namun kami sekeluarga yakin beliau mampu berdikari, ” katanya.

Elia bersama ibunya, Ezarozini binti Hamzah