April 13, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar Program 5ETP, Muhamad Syafik Dinobatkan Tokoh Siswa Kebangsaan 2018

Pelajar Program ‘signature’ UTM 5 Excellence Tracks Programmes (5ETP) Gondol Anugerah Tertinggi Mahasiswa

NILAI, 31 Mac —  Mahasiswa jurusan Sains Komputer (Rangkaian & Keselamatan Komputer) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhamad Syafik Rahmat telah menaikkan nama universiti apabila telah berjaya memenangi Anugerah Menteri Pendidikan yang membawa gelaran Tokoh Siswa Kebangsaan dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2018 (ATS).

Dalam majlis yang telah dilangsungkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), semalam, Muhammad Syafik turut dinobatkan Anugerah Pemimpin Program Sukan.

Dengan kemenangan tersebut, beliau membawa pulang Anugerah Menteri Pendidikan, menerima wang tunai RM4,000, trofi, biasiswa melanjutkan pelajaran pascasiswazah, sijil penghargaan, tablet Huawei dan pakej percutian ke luar negara bernilai RM 5,000 yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB.  Dr. Maszlee Malik.

Dr. Maszlee berkata penganugerahan kepada Syafik diberikan bagi mengiktiraf pencapaian dan ketokohan beliau atas pembabitan aktif dalam program berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

ATS ini ialah anugerah berprestij dan tertinggi bagi mengiktiraf mahasiswa cemerlang dalam pelbagai bidang dan sebanyak 15 anugerah dipertandingkan mencakupi aspek kepimpinan, kesukarelawanan, keusahawanan, kebudayaan, sukan dan lain-lain dengan keseluruhan sebanyak 245 pencalonan diterima.

Majlis ini telah menghimpunkan kira-kira 800 tetamu yang terdiri daripada pengurusan tertinggi kementerian, pengurusan tertinggi Universiti Awam (UA) dan mahasiswa, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bertaraf universiti dan kolej universiti, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Hanya seorang daripada penerima antara 15 kategori ini akan diangkat sebagai penerima anugerah utama iaitu Anugerah Menteri Pendidikan dengan penerimanya digelar Tokoh Siswa Kebangsaan.

Syafik (paling kanan) merakamkan swafoto kenangan bersama Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik (depan, kiri) serta pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan UTM.

Selaku Tokoh Siswa Kebangsaan, Muhamad Syafik, 24 yang juga merupakan salah seorang pelajar program ‘signature’ UTM 5 Excellence Track Programmes (5ETP) dan Presiden Sekretariat Anak Johor Darul Takzim (SEJATI), bersyukur atas penganugerahan ini dan berterima kasih kepada kedua ibu bapanya yang sentiasa memberikan sokongan dan doa kepada beliau serta kepada pihak UTM yang telah mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan beliau.

“Kemenangan ini dilihat sebagai satu amanah yang cukup besar untuk saya terus memberikan inspirasi kepada mahasiswa lain dan komuniti.

Ia juga sebagai pemangkin semangat untuk terus bekerja keras memberikan semampu yang boleh untuk berkhidmat pada masyarakat.

Jangan terlalu berkira untuk mengorbankan masa dan tenaga untuk berbakti pada orang lain kerana perkara yang baik itu pasti dibalas dengan sesuatu yang baik yang kadangkala tidak terduga,” katanya lagi.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus, yang turut hadir dalam majlis tersebut turut menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kemenangan ini.

Menurut beliau, Muhammad Syafik sememangnya seorang permata yang sentiasa berusaha gigih memberi sumbangan melalui penglibatan aktif beliau dalam memimpin pelbagai acara bukan sahaja sukan malah juga kemasyarakatan.

“Lebih membanggakan lagi ialah perwatakan beliau yang mempunyai kualiti kepimpinan yang tinggi, penuh adab sopan serta sentiasa berbincang untuk mendapatkan pandangan.

Kemenangan ini juga didorong oleh usaha keras dan transformasi oleh Pejabat hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM yang memastikan pelajar sentiasa terkehadapan,” tambahnya lagi.

Perkara yang sama dikongsi oleh Prof. Madya Ahmad Khalid, mantan Pengarah Pembangunan Pelajar UTM Kuala Lumpur yang banyak membimbing Muhammad Syafik di awal penglibatan sebagai pelajar.

Di samping terlibat dalam pelbagai aktiviti pelajar seperti pengarah program khidmat masyarakat di Melaka, Jambori Keusahawanan di Indonesia,  Pengarah program GOP ke Eropah pada 2016, Muhammad Syafik juga telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat universiti seperti Pemenang Anugerah NC UTM 2015, Pemenang Anugerah Kolej Kediaman 2015 dan Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman UTM 2015 selain merupakan finalis ATS bagi kategori Pemimpin Kolej Kediaman 2015.

“Beliau juga seorang yang mesra, mudah didampingi, matang, sentiasa bersedia menerima pandangan serta mempunya kemahiran berkomunikasi yang sangat baik dengan semua lapisan masyarakat,” ujar Prof. Madya Ahmad Khalid lagi.

Anugerah bagi kategori-kategori lain turut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, YB Puan Teo Nie Ching dan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPM, YBhg Dato’ Kamel Mohamad,

Turut hadir pada majlis malam tadi, ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPM, YBhg. Datin Paduka Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti KPM, YBhg. Profesor Dato’ Ts Dr. Mohd Ismail Abd Aziz serta kepimpinan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta.

 

Explore More