Search
Close this search box.
Dato’ Seri Mohamed Khalid melancarkan ekspedisi ke Everest.

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2012: – Sekumpulan lima mahasiswa Universiti Tekologi Malaysia (UTM) akan berlepas ke Kathmandu, Nepal, Jumaat ini untuk mengadakan kajian altitud tinggi di Gunung Everest.

Mereka akan berada di Banjaran Himalaya selama sebulan untuk memulakan kajian dan seterusnya menjalani latihan sebagai persediaan untuk mengadakan kajian di puncak gunung tertinggi di dunia pada tahun 2014.

Mereka terdiri daripada dua pelajar tahun tiga Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat, Azim Afif Ishak, 23 dan Anis Zulaikha Zabani, 22, dua pelajar tahun dua Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui, Muhammad Syafiq Ab. Rashid, 22 dan Nur Fadzillah Nawawi, 20, dan Siti Nur Izati Azmi, 20, tahun dua Fakulti Kejuruteraan Kimia.

Azim yang sedang mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda sains komputer dalam bidang rangkaian dan keselamatan pengkomputeran adalah pendaki utama dan ketua ekspedisi.

Beliau akan menjalankan kajian Smart Traveller Diary menggunakan teknologi android iaitu satu inovasi baru merekodkan masa, jarak, suhu, keadaan cuaca dan pengalaman trek yang tepat untuk pendaki gunung.

Izati melakukan demonstrasi flying fox dan turun dari bangunan Canseleri menggunakan tali.

Manakala Anis Zulaikha yang mengikuti pengajian dalam bidang pangkalan data akan melakukan kajian bagi membangunkan laman web untuk peminat aktiviti mendaki memilih pakej aktiviti luar di gunung-gunung di negara ini.

Muhammad Syafiq pula akan menjalankan kajian mengenai kuantiti karbon dioksida yang di lepaskan di kawasan pergunungan bagi kegunaan Pemulihan Minyak Dipertingkatkan (EOR) manakala Siti Nur Izati memilih kajian penggunaan biodiesel di kawasan pergunungan.

Sementara Nur Fadzillah akan menjalankan kajian perbezaan tahap luluhawa di kawasan sejuk dengan kawasan tropika.

Kumpulan ini akan ke Everest Base Camp  untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di sana dan mengadakan latihan teknikal mendaki di Lobuche Peak dan Island Peak masing-masing berada pada ketinggian 6,119 meter dan 6,189 meter dari aras laut.

Program ke Everest ini dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di kampus UTM Jalan Semarak, dekat sini hari ini.

Selain itu, dalam perjalanan ke Base Camp mereka akan bersama dengan Pro Canselor UTM, Tan Sri Salleh Mohd Nor, 72 dan dua pegawai mengadakan program khidmat masyarakat di Khumjung, sebuah pekan kecil di Himalaya.

Mereka akan membangunkan Reading Station di Sekolah Tinggi Khumjung yang dibina oleh Edmund Hillary, pendaki pertama yang berjaya sampai di puncak Gunung Everest untuk menyampaikan sumbangan panel solar dan alat pandang dengar.

Ekspedisi ini adalah kali kedua selepas kunjungan pertama pada April lalu yang disertai oleh Mantan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA), Profesor Datuk Dr Alias Mohd Noor.

Beberapa lagi ekspedisi akan diadakan termasuk ke Gunung Cook di New Zealand dan Gunung Cho Oyu di Tibet pada tahun depan sebagai persediaan ke puncak Everest pada 2014.

Explore More