April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 16 Mac: – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan program perisian kursus terbuka (Open Courseware (OCW)) untuk berkongsi bahan pembelajaran secara global.

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Zaini Ujang berkata, OCW mengandungi bahan pembelajaran digital berdasarkan kursus yang ditawarkan di UTM yang boleh dimuat turun secara percuma.

OCW adalah tren pembelajaran terkini yang memanfaatkan teknologi maklumat untuk menyediakan pendidikan bertaraf dunia yang telah lama diamalkan oleh universiti terkemuka seperti Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Universiti John Hopkins dan Universiti Tokyo.

Tujuan UTM mengadakan program ini bagi menyediakan platform kepada staf akademik mempamerkan kepakaran dan membolehkan pengguna dari seluruh dunia berkongsi bahan pembelajaran digital bermutu tinggi.

Dr. Zaini menekan menyentuh skrin komputer tablet merasmikan perisian kursus terbuka.

Bahan yang terdapat di dalam OCW boleh dimuat turun oleh sesiapa sahaja untuk meningkatkan pengetahuan mereka mengenai bidang yang berkaitan di samping menjadi rujukan tambahan kepada semua pelajar universiti.

Selain itu, Ibu bapa dan bakal pelajar boleh menilai bahan pembelajaran yang ditawarkan dan OCW boleh menjadi daya tarikan kepada mereka untuk melanjutkan pengajian dalam bidang yang diminati di UTM.

Sehingga kini bahan pembelajaran bagi lebih 40 kursus telah dimuat naik ke laman web dan UTM merancang untuk menerbitkan 500 kursus secara online  dalam tempoh empat tahun.

MIT yang menjadi pengasas kepada projek ini telah menerbitkan bahan pembelajaran bagi 2000 kursus yang ditawarkan di universiti berkenaan secara online, manakala Khan Academy memuat naik 3,000 bahan pembelajaran dalam bentuk video.

OCW adalah sumbangan sosial UTM kepada masyarakat ke arah peningkatan kualiti pendidikan di negara ini khususnya dan masyarakat dunia umumnya.

Penglibatan UTM dalam OCW mampu menaikkan imej UTM, sebaris dengan universiti ternama di seluruh dunia yang kini mengamalkan konsep perkongsian melalui kemudahan internet untuk meningkatkan ilmu pengetahuan.

Bahan OCW UTM boleh diakses menerusi laman web http://ocw.utm.my.

 

Explore More