Kesukaran hidup jadi pendorong

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 25 Okt. – Impian untuk mengubah taraf hidup keluarga menjadi pendorong kepada Hasniah Salehe dari Tawau, Sabah untuk berjaya dalam pelajaran.

Dorongan itu turut membolehkan beliau merangkul Anugerah Dekan Kelas Pertama dalam Majlis Penyampaian Diploma Program Kerjasama dan Eksekutif UTMSPACE 2011, di sini hujung minggu lalu.

Hasniah, 25, graduan Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektronik dari Kolej Teknologi Darul Naim di Kota Bahru, Kelantan tersebut memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.69.

Menurut anak kesembilan dari 10 beradik ini, dia yang kehilangan bapa sejak lapan tahun lalu telah menanam semangat untuk belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran demi mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera.

‘‘Saya berasal dari kampung dan kebanyakan abang dan kakak saya hanya bersekolah setakat peringkat menengah sahaja.

‘‘Kehidupan keluarga saya yang agak sukar itulah yang telah menyuntik semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh agar dapat membantu keluarga suatu hari nanti,” katanya ketika ditemui di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini.

Hasniah berkata, antara petua kejayaannya adalah belajar secara berkumpulan kerana dengan cara itu dia dapat mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan dan membantu antara satu sama lain.

Selain bidang akademik, katanya, beliau turut aktif dalam persatuan selain selalu mengikuti aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kolej pengajiannya.

‘‘Bagi saya akademik dan kokurikulum sama-sama penting dan sebagai pelajar kita harus pandai membahagikan masa dengan bijak,” katanya.

Seramai 1,883 graduan menerima diploma masing-masing dalam pelbagai jurusan dan daripada jumlah tersebut, seramai 486 graduan di bawah Program Diploma Eksekutif daripada 10 buah rakan pintar dan seramai 1,397 graduan di bawah program Diploma Kerjasama UTMSPACE.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *