Sumber: Utusan Malaysia

Gambar: UTM

Prof. Rahmalan (dari kiri), Prof. Azrai, Prof. Kim dan Prof. Ibrahim Seeni mendengar pembentang di Dewan Senat.

JOHOR BAHRU 15 Nov. – Seramai 160 peserta dari lebih 10 negara menyertai AsiaFlux Workshop 2011 bagi membincangkan usaha menyelamatkan ekosistem dan masalah persekitaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini baru-baru ini.

Pengerusi AsiaFlux Workshop Malaysia, Dr. Ab. Latif Ibrahim berkata, program yang dianjurkan setiap tahun sejak 10 tahun lalu bertujuan membincangkan mengenai permasalahan tersebut melibatkan wakil saintis dari pelbagai negara di Asia.

Menurutnya, penjagaan ekosistem di dunia amat penting demi memastikan setiap individu dapat merasai keadaan hidup yang aman, tenang dan selamat sekali gus kesedaran mengenai perkara itu harus dipupuk sejak awal.

“Objektif penganjuran program ini diadakan mengumpulkan saintis berkaitan dari pelbagai negara bagi membincangkan isu ini dan seterusnya mendalami permasalahan agar tindakan susulan dapat dibuat.

“Kelestarian ekosistem amat penting bagi memastikan isu global yang hangat diperkatakan kini dapat ditangani dan memberi manfaat kepada semua pihak supaya dapat menjalani kehidupan seharian dengan baik,” katanya selepas Majlis perasmian Asiaflux Workshop 2011 yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik) Prof. Dr. Mohd. Azrai Kassim.

Turut hadir, Pengerusi AsiaFlux, Prof. Joon Kim.

Program selama tiga hari itu melibatkan peserta luar negara, antaranya dari Jepun, Korea, Singapura, Kanada, Amerika Syarikat dan Eropah.

Ab. Latif berkata, program tersebut merupakan satu langkah positif sejajar usaha mencari tindakan yang boleh dilaksanakan untuk membangunkan infrastruktur selain mencari tindakan relevan yang dapat dibuat.

“Di Malaysia terdapat sebuah menara yang terletak di Pasoh, Negeri Sembilan yang berfungsi dapat mengawal ekosistem sekali gus menjadi monitor sekiranya berlaku masalah berkaitan,” katanya.

Explore More