April 26, 2024

Search
Close this search box.

Konvokesyen ke-47: Tan Sri Dato’ Dr. Yahya Awang telah dilantik sebagai Pro-Canselor baru

Tan Sri Dr Yahya menerima watikah perlantikan dari DYMM Tuanku Canselor.

 

24 September 2011: – Tan Sri Dato’ Dr. Yahya bin Awang telah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baru pada majlis Konvokesyen ke-47 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Beliau merupakan Perunding Pakar  Bedah Kardiotorasik di Pusat Jantung Damansara, Hospital Pakar Damansara, Pengerusi National Transplant Registry dan anggota Majlis Persatuan Pakar Bedah Toraks dan Kardiovaskular Asia.

Tan Sri Dr Yahya pernah berkhidmat sebagai pendaftar pembedahan di Hospital Royal Brompton, London dari Julai 1981 hingga November 1983 sebelum kembali ke Malaysia dan bertugas sebagai Pakar Pembedahan Kardiotorasik di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Beliau kemudian dilantik sebagai ketua dan perunding kanan pakar pembedahan kerdiotorasik di Jabatan Pembedahan Kardiotorasik hospital yang sama dan mengetuai jabatan tersebut sehingga Jun 1992.

Beliau kemudian memegang jawatan Ketua dan Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik di Institut Jantung Negara (IJN) dari Jun 1992 hingga Mac 2002 dan menjadi Pengarah Perubatan di IJN dari 22 Oktober 1998 hingga 22 Oktober 2002.

Antara pencapaian dan kejayaan beliau adalah mengetuai pembedahan pintasan jantung ke atas Tun Dr. Mahathir Mohammad, perintis kepada penubuhan Institut Jantung Negara Malaysia dan menjalankan pembedahan pemindahan jantung yang pertama di Malaysia.

Disamping itu, UTM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Awam kepada Mantan Pro-Canselor UTM, Tun (Dr.) Abdullah bin Ayub yang telah berkhidmat dari 1 Julai 1998 sehingga 30 Jun 2011.

Manakala Profesor Dato’ Dr. Hj. Ismail bin Hj. Bakar dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus oleh UTM di majlis yang sama.

Beliau adalah bekas Pengarah Institut Teknologi Tun Hussein Onn dan Rektor Kolej Universiti Institut Teknologi Tun Hussein Onn (KUITHO) dan sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (UTHM) pada 1 Februari 2007.

Beliau telah dilantik sebagai Penolong Pensyarah B di UTM pada tahun 1973 dan telah banyak memberi sumbangan kepada UTM.

Antara jawatan yang pernah disandang semasa berkhidmat di UTM ialah Pensyarah, Profesor Madya, Jurutera Awam Khas, Ketua Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan, Timbalan Pengarah SPACE, Pengarah SPACE dan Professor.

Explore More