Dalam era globalisasi dan teknologi yang berkembang pesat, peranan guru tidak lagi terbatas kepada penyampaian ilmu di bilik darjah. Sebaliknya, mereka kini merupakan agen transformasi yang berperanan penting memacu reformasi pendidikan negara ke arah sistem yang lebih progresif, inklusif dan mampan.
Seiring dengan tema sambutan Hari Guru 2025, “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Noraffandy Yahaya berkata, perubahan landskap pendidikan negara menuntut guru agar bersedia memikul cabaran baharu dengan pendekatan yang lebih inovatif dan dinamik.
“Pendidikan hari ini tidak cukup sekadar menyampaikan isi kandungan. Ia harus membentuk pelajar secara menyeluruh – dari segi pemikiran, nilai, emosi dan keupayaan menyesuaikan diri dalam dunia yang sentiasa berubah. Guru perlu menjadi peneraju dalam semua aspek ini,” katanya dalam temu bual eksklusif sempena Hari Guru.
Tambah beliau, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring dengan arus perubahan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), digitalisasi serta keperluan pasaran kerja yang menuntut kemahiran teknikal dan kemanusiaan menjadi satu pakej penting bagi bakat masa hadapan.
“Di FEST, ekosistem pembelajaran yang dibentuk oleh sistem sokonganan di fakulti ini menjadikannya lebih bersifat dinamik, adaptif dan fleksibel dalam melahirkan bakat pendidik yang ampuh mendepani cabaran daripada dunia luar yang terkait dengan pendidikan,” tegasnya.
FEST lahirkan pendidik TVET berkemahiran tinggi
Sebagai sebuah Fakulti Pendidikan dalam universiti teknikal terkemuka negara, FEST UTM memainkan peranan utama dalam menyediakan guru dan jurulatih berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan negara dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI).
Menurut Prof. Dr. Noraffandy, walaupun kerajaan menyasarkan nisbah pelajar aliran Sains kepada Sastera sebanyak 60:40, sasaran ini masih belum dicapai sepenuhnya.
“Ini memberi kesan besar terhadap keperluan tenaga kerja mahir negara pada masa depan dalam bidang Sains dan Teknologi. Sebagai institusi pendidikan tinggi, UTM mengambil tanggungjawab serius untuk melahirkan lebih ramai pendidik dan tenaga pengajar dalam bidang-bidang kritikal ini,” katanya.
Sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu, FEST terus mengembangkan sayapnya dengan menawarkan pelbagai program berkualiti yang menggabungkan aspek pendidikan, teknologi, multimedia dan inovasi.
“Guru keluaran FEST sangat terkenal dengan ilmu pendidikan yang selari dengan bidang Sains Teknologi yang mengintegrasikan kurikulum pendidikan di Malaysia dalam pelbagai bidang fokus termasuklah TVET, STEM, Sains Sukan, Pendidikan Islam dan TESL. FEST mengambil peranan dalam melahirkan pendidik yang mempunyai kapasiti ilmu pengetahuan AI dalam pendidikan melangkau bidang tertentu menerusi pengimplementasian kurikulum yang telah dibangunkan di FEST,” ujarnya.
Pendekatan fleksibel & mesra AI bawa FEST ke persada antarabangsa
Pendekatan pembelajaran yang fleksibel dan berpaksikan teknologi terkini yang diterapkan di Fakulti ini seperti kecerdasan buatan (AI) membuktikan komitmen FEST dalam melahirkan pendidik yang mampu menguasai kaedah pengajaran masa depan termasuklah kurikulum yang sentiasa disemak dan disesuaikan dengan perkembangan teknologi.
Pendekatan pembelajaran digital dan hibrid membolehkan pelajar mengakses bahan secara kendiri sambil menggalakkan kreativiti dan interaksi. Inisiatif ini selari dengan agenda nasional seperti Pelan Tindakan TVET Negara 2030 dan Pelan Hala Tuju Bakat AI Malaysia.
“FEST bukan sahaja memperkasakan kurikulum dalam bidang teknikal, tetapi juga mendidik pelajar agar celik AI dan berupaya menggunakan teknologi ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kami menerapkan pembelajaran digital yang interaktif dan berpusatkan pelajar, agar mereka bersedia menghadapi dunia sebenar selepas tamat pengajian,” jelasnya.
Keupayaan ini membolehkan FEST diiktiraf dalam kelompok 200 terbaik dunia bagi bidang Pendidikan mengikut penarafan QS Ranking dan Times Higher Education 2025. Fakulti ini juga menjadi pilihan pelajar tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 buah negara.
Festival Inovasi Pendidikan yang dianjurkan setiap tahun juga menjadi platform utama untuk mengasah daya cipta pelajar, manakala kursus Inovasi dalam Pendidikan wajib diikuti bagi membentuk bakal guru yang kreatif dan progresif.
Cakna nilai dan empati pelengkap profesionalisme guru
Di sebalik penekanan terhadap teknologi dan akademik, FEST tidak melupakan aspek nilai kemanusiaan. Malah, nilai-nilai seperti empati, kepimpinan, tanggungjawab sosial dan komunikasi antara budaya diterapkan sejak awal dalam program pengajian.
“Bakal guru di FEST diwajibkan mengikuti kursus dan aktiviti yang membina kemahiran insaniah, seperti program khidmat masyarakat, service learning dan kursus Sosiologi Pendidikan. Kami mahu melahirkan guru yang bukan sahaja bijak, tetapi juga berhati besar,” kata Prof. Dr. Noraffandy.
Kepimpinan juga merupakan elemen teras yang ditekankan melalui pelbagai kursus dan latihan. Menurut beliau, seorang guru yang baik adalah pemimpin yang mampu mempengaruhi dan membimbing pelajar serta komuniti ke arah kecemerlangan.
“Aspek kepimpinan sangat dititikberatkan kerana dalam kebanyakan kursus yang diajar di FEST ia menekankan tentang faktor kepimpinan kerana jika ingin menjadi guru, ini adalah perkara asas yang perlu ada dalam setiap jiwa guru keluaran FEST, UTM.
“FEST juga memberi penekanan kepada Psikologi Pendidikan dan Bimbingan dan Kaunseling, agar guru dapat memahami latar belakang dan emosi pelajar dengan lebih baik. Ini penting dalam membina hubungan guru-murid yang harmoni dan menyokong kesihatan mental pelajar,” katanya.
Prof. Dr. Noraffandy menyeru guru sentiasa bersedia untuk berubah dan menerima pendekatan pembelajaran yang lebih fleksibel serta relevan dengan keperluan pelajar masa kini. Penguasaan teknologi terutama kecerdasan buatan (AI) juga perlu menjadi keutamaan agar pengajaran lebih berkesan dan sejajar dengan perkembangan dunia pendidikan.
Beliau turut mengingatkan agar guru terus meningkatkan profesionalisme dan ilmu pengetahuan secara berterusan supaya dapat menghadapi cabaran pendidikan masa depan dengan lebih yakin dan berdaya saing. Guru yang proaktif dan terbuka kepada pembaharuan inilah yang akan menjadi pemacu utama reformasi pendidikan negara demi kesejahteraan generasi akan datang.
Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik di tanah air. Teruskan menyemai bakti, memacu reformasi dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia.