Mac 31, 2025

WhatsApp Image at e

UTM Prihatin komited bantu mangsa banjir menerusi pelbagai inisiatif

JOHOR BAHRU, 26 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi inisiatif UTM Prihatin terus komited membantu warga universiti yang terkesan akibat bencana banjir luar biasa yang melanda Johor Bahru dan kawasan sekitarnya baru-baru ini. Hujan lebat berterusan menyebabkan banyak kawasan dinaiki air, mengakibatkan kerosakan harta benda serta kehilangan tempat tinggal bagi sebahagian penduduk.

Prihatin akan kebajikan pelajar yang terkesan, Naib Canselor UTM, Prof. Mohd Shafry Mohd Rahim, turun padang menyantuni salah seorang daripdanya termasuk Nur Huwaida Imran, pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Sains (Biologi Industri), dari  Fakulti Sains. Kediaman Nur Huwaida di Kampung Seri Serdang, Tampoi mengalami kerosakan teruk akibat ditenggelami air sehingga paras bumbung, sekali gus memberi kesan besar kepada keluarganya.

WhatsApp Image at ecd
Prof. Mohd Shafry Mohd Rahim menziarahi Nur Huwaida, pelajar Fakulti Sains UTM, yang kediamannya terjejas teruk akibat banjir
WhatsApp Image at beed
Keadaan rumah pelajar yang mengalami kerosakan teruk selepas banjir melanda

Sebagai langkah segera, UTM menyediakan memperuntukkan penginapan sementara di Blok G18, Kolej Rahman Putra, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan Nur Huwaida serta keluarganya. Kunci rumah transit ini telah diserahkan kepada Nur Huwaidah pada 27 Mac 2025, membolehkan mereka berpindah ke tempat perlindungan yang lebih selesa sementara keadaan kembali pulih.

n
Sesi serahan kunci rumah transit kepada keluarga pelajar terkesan banjir di Blok G18 (Sumber: Facebook Azlan Abdul Latib)

Sementara itu, inisiatif Rumah Transit UTM turut diperluas bagi kepada warga universiti yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir. Inisiatif yang diketuai oleh Hj. Taha Othman, turut melibatkan tenaga kerja daripada Scholars Inn, Pusat Islam, Bahagian Aktiviti & Pembangunan Pelajar (BAPP), serta Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

Selain menyediakan tempat perlindungan, pelbagai bentuk bantuan turut disalurkan kepada mangsa banjir menerusi misi bantuan UTM Prihatin. Salah satu usaha utama adalah serahan Bakul Ihsan Madani, yang mengandungi barangan keperluan asas untuk pelajar yang terjejas.

Misi ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib, bersama En. Ridzuan sebagai penyelaras, dan disertai oleh sebelas anggota yang dibahagikan kepada dua pasukan bagi menyampaikan sepuluh pek bantuan di kawasan Pulai dan Tebrau.

Selain itu, satu pasukan khas yang diketuai oleh Ustazah Dr. Naemah, bersama Ustaz Panji Alam Mazhisham sebagai penyelaras, turut turun ke lapangan bagi menyerahkan sumbangan tunai kepada mangsa banjir. Lima anggota pasukan ini telah bergabung dengan kumpulan bantuan di Pulai bagi memastikan sumbangan disampaikan kepada penerima yang memerlukan.

Dalam usaha membantu proses pemulihan, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dengan kerjasama penduduk setempat turut menggerakkan misi pembersihan pasca banjir. Misi ini diketuai oleh Yang Dipertua MPP, Muhammad Hazim Azatul Amery, bersama Tok Azmi Basiran, Ketua Kampung, sebagai penyelaras. Seramai lapan anggota telah bergotong-royong membersihkan kawasan Kampung Sepakat Baru, Skudai, bagi memastikan penduduk dapat kembali ke kediaman mereka dengan lebih selesa.

Naib Canselor UTM menegaskan bahawa universiti sentiasa bersedia untuk membantu warganya dalam menghadapi musibah seperti ini. Beliau turut menyeru semua pihak untuk terus memberikan sokongan moral kepada mereka yang terjejas, terutama dalam tempoh pemulihan pasca banjir.

“Kami di UTM sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar, terutamanya mereka yang terjejas akibat bencana banjir. Pada saat ini, UTM terus menggerakkan misi bantuan bagi membantu pelajar yang terkesan. Penyediaan rumah transit untuk saudari Huwaida merupakan inisiatif pantas hasil kerjasama Unit Residen, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ), serta UTM Prihatin,” ujar Prof. Mohd Shafry Mohd Rahim.

WhatsApp Image at af
Prof. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan sumbangan kepada pelajar UTM yang terkesan akibat banjir

UTM akan terus memantau perkembangan pelajar dan staf yang terkesan serta menyediakan bantuan susulan sekiranya diperlukan. Dengan semangat kebersamaan, diharapkan usaha ini dapat meringankan beban mereka dan memberi harapan baharu kepada mereka yang terjejas.

Explore More