Mac 31, 2025

Dato’ Dr. Mohd Sharil dilantik Pendaftar UTM yang baharu

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah telah dilantik sebagai Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Dato’ Dr. Sharil sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri (BHI), Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi sejak tahun 2020, dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Ketua Pentadbiran di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL) pada tahun 2018 hingga 2020.

Beliau turut mempunyai pengalaman luas merentasi pelbagai agensi dan kementerian termasuk Kementerian Kesihatan serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen UTM untuk terus memperkasa sistem pengurusan akademik dan pentadbiran dalam menghadapi cabaran pendidikan tinggi masa kini.

Dato’ Dr. Mohd Sharil memiliki pengalaman yang amat luas dalam bidang pentadbiran hasil keterlibatannya dalam pelbagai peranan dan jawatan penting, termasuk sebagai ahli Lembaga Pengarah di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan universiti awam seperti MRANTI Corporation Sdn. Bhd., UTM Holdings Sdn. Bhd., Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah (kanan) menerima watikah pelantikan dari Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim di Pejabat Naib Canselor

Berkelulusan Doktor Falsafah dalam Kejuruteraan Elektrik dari UTM, beliau mempunyai minat dan kepakaran dalam bidang pengurusan sumber manusia, perancangan strategik dan pembangunan organisasi, disokong oleh pelbagai latihan profesional dalam bidang kepimpinan dan pentadbiran.

Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyambut baik pelantikan ini dan menzahirkan keyakinannya terhadap kewibawaan Dato’ Dr. Mohd Sharil. “Beliau seorang yang berpengalaman luas dalam sektor pendidikan tinggi dan juga berpengalaman sebagai Ketua Pentadbiran di Kampus UTM Kuala Lumpur. Saya yakin, dengan pelantikan ini, UTM akan terus berkembang sebagai institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia,” katanya.

Kepimpinan Dato’ Dr. Mohd Sharil dijangka membawa anjakan baharu dalam aspek pentadbiran universiti, khususnya dalam memperkukuh pembangunan bakat, memperkenal inovasi dalam pengurusan sumber manusia serta menggalakkan budaya kerja yang dinamik dalam kalangan warga UTM. Dengan visi yang jelas dan pengalaman yang luas, beliau diyakini mampu melonjakkan universiti ke tahap yang lebih tinggi di peringkat antarabangsa.



Explore More