Mac 6, 2025

gmbar

UTM dan RISDA rancang pusat latihan kecerdasan buatan kepada pekebun kecil

KUANTAN, 24 Feb – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan lawatan ke Institut Kemajuan Pekebun Kecil (IKPK), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Pahang bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan Pusat Latihan Kecerdasan Buatan (AI) di RISDA Pahang. Lawatan ini bertujuan untuk meneroka peluang perkhidmatan konsultasi yang bakal diberikan oleh FAI UTM dalam membantu RISDA menaik taraf fasiliti sedia ada menjadi sebuah pusat latihan AI yang memenuhi keperluan teknologi semasa dan spesifikasi yang sesuai.

Sepanjang sesi perbincangan, kedua-dua pihak telah meneliti keperluan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan fasiliti yang lebih moden dan lengkap bagi menyokong aktiviti latihan, penyelidikan, dan inovasi AI dalam bidang pertanian. FAI UTM turut mengemukakan cadangan terperinci mengenai spesifikasi teknikal dan reka bentuk pusat latihan tersebut bagi memastikan ia mampu berfungsi sebagai pusat rujukan serta pembangunan teknologi AI pertanian yang berdaya saing di peringkat nasional.

Selain itu, perbincangan turut menumpukan kepada perancangan modul latihan khas yang direka bentuk khusus untuk pekebun kecil. Modul ini bertujuan memberi pendedahan awal mengenai AI dan latihan praktikal berkaitan aplikasi teknologi dalam sektor pertanian. Antara aspek yang diberi penekanan ialah pemantauan kesihatan tanaman, pengurusan sumber secara optimum, ramalan hasil tuaian, serta teknik pertanian pintar lain yang boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti pekebun kecil.

Delegasi UTM dalam lawatan ini diketuai oleh Ts. Dr. Noraimi Shafie, bersama dua ahli akademik lain, Prof. Madya Ir. Dr. Rudzidatul Akmam Dziayuddin dan Ir. Dr. Hazilah Mad Kaidi. Sementara itu, pihak RISDA diwakili oleh Hanan Md Yusoff, yang menyatakan komitmen RISDA dalam merealisasikan projek ini. Menurut beliau, kerjasama dengan UTM merupakan satu langkah strategik ke arah memperkasakan pekebun kecil agar lebih bersedia menghadapi cabaran pertanian moden melalui penguasaan teknologi AI.

Dengan adanya usaha ini, diharapkan pembangunan teknologi AI dalam sektor pertanian di Malaysia dapat dipacu dengan lebih berkesan, sekali gus memperkukuh daya saing pekebun kecil. Inisiatif ini juga selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 serta mempromosikan pertanian mampan berasaskan inovasi teknologi. Lawatan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan antara akademia dan agensi kerajaan, selain diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada komuniti pertanian, seterusnya menyumbang kepada kemajuan sektor agroindustri negara.

gmbr
Delegasi UTM dan RISDA membincangkan kerjasama pembangunan pusat latihan AI
gmbar
Delegasi UTM bersama pihak RISDA

Explore More