November 22, 2024

Search
Close this search box.
IMG

Pelajar UTM terokai keselamatan kebakaran di IFCEM 2024 anjuran JBPM

KUALA LUMPUR, 23 Okt – Enam orang pelajar dari program Sarjana Sains (Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar) Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menghadiri Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024 yang dianjurkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Persidangan ini berlangsung dari 22 hingga 24 Oktober 2024 dan bertujuan meningkatkan kemahiran serta kapasiti komuniti dalam keselamatan kebakaran.

Para pelajar turut disertai oleh pekerja sambilan harian (PSH) dari Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM, dengan rombongan dipimpin oleh Dr. Norafneeza Norazahar, penyelaras program Sarjana Sains (Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar) serta Timbalan Pengarah (Seksyen Alam Sekitar), Pejabat OSHE.

WhatsApp Image at
Pelajar UTM berinteraksi dengan pempamer IFCEM 2024, mendalami ilmu tentang keselamatan kebakaran

Sebagai sebahagian dari program persidangan, Cabaran Ekstrikasi Penyelamatan Antarabangsa Malaysia (MIREC) turut diadakan, menghimpunkan pasukan penyelamat dari seluruh dunia untuk bersaing dalam teknik penyelamatan. MIREC menyediakan platform bagi profesional penyelamat mempamerkan kemahiran dan teknik canggih dalam usaha menyelamat.

IFCEM 2024 juga berkait rapat dengan kursus Pengurusan Krisis dan Kecemasan yang ditawarkan sebagai kursus elektif dalam program Sarjana Sains (Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar). Kursus ini memperkenalkan langkah-langkah asas bagi mengenal pasti krisis dan cara mengendalikan situasi kecemasan di tempat kerja.

Krisis industri seperti pelepasan bahan toksik, tumpahan kimia, kebakaran dan letupan kerap kali berlaku, menjadikan persediaan dan tindak balas yang kritikal. Keupayaan menangani krisis ini bergantung kepada pengetahuan, perancangan, sistem sedia ada, dan latihan.

WhatsApp Image at
Antara peralatan menyelamat terkini yang dipamerkan di IFCEM 2024

Melalui persidangan IFCEM 2024, para peserta mendapat pendedahan secara langsung kepada pengetahuan, pengalaman, dan peralatan dari syarikat-syarikat dalam dan luar negara berkaitan persediaan dan tindak balas semasa kecemasan. Lawatan ini memberikan peluang kepada pelajar untuk memperluas perspektif, mendekatkan diri dengan pengalaman praktikal, dan mengaplikasikan teori ke dalam situasi sebenar, serta meningkatkan pemahaman terhadap kursus yang berkaitan dengan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar.

Di samping itu, pengalaman yang diperolehi dapat mengeratkan hubungan antara pensyarah dan pelajar serta memperkukuh jaringan sosial dan profesional yang penting bagi perkembangan kerjaya. Universiti turut meraih manfaat melalui peningkatan reputasi dan kualiti pendidikan, menjadikannya lebih menarik kepada pelajar dan tenaga akademik.

Antara nilai yang telah diperolehi dan dibawa pulang daripada lawatan ini ialah peluang pembelajaran merangkumi perubahan terkini dalam industri, termasuk perkembangan baharu dari pelbagai negara yang membuka mata pelajar tentang kemungkinan masa hadapan. Seterusnya, lawatan ini menghubungkan pelajar dengan industri yang membolehkan potensi kerjasama dalam pematuhan akta dan peraturan terkini.

WhatsApp Image at
Staf PSH OSHE UTM bersama pelajar di IFCEM 2024, Kuala Lumpur

Secara keseluruhannya, penglibatan pelajar dalam Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024 bukan sahaja memperkaya pengetahuan mereka tetapi juga memperkukuh jaringan profesional yang penting bagi pembangunan kerjaya di masa hadapan. Dengan pendedahan ini, pelajar diharapkan dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dalam situasi sebenar dan menjadi pemimpin yang berdaya saing dalam bidang keselamatan, kesihatan, dan alam sekitar.

Explore More