JOHOR BAHRU, 29 Sept – Bengkel Pembuatan Sabun sempena Program Erat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Dekati Komuniti 2024 telah berjaya menarik penyertaan 25 orang komuniti setempat di Dewan Kampung Dato’ Sulaiman Menteri. Program ini merupakan sebahagian daripada usaha Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk memperkasa komuniti setempat melalui pemindahan ilmu dan kemahiran, selaras dengan matlamat UTM dalam menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat.
Bengkel ini dikendalikan oleh pensyarah kanan dari Jabatan Biosains, Fakulti Sains, UTM, iaitu Dr. Mira Panadi, Ir. Ts. Dr. Wan Rosmiza Zana Wan Dagang, Dr. Fazilah Abd Manan dan Dr. Nazrin Abd Aziz. Sebagai sebuah institusi yang komited terhadap tanggungjawab sosial, UTM berperanan aktif dalam pembangunan komuniti setempat. Melalui bengkel ini, UTM bukan sahaja ingin berkongsi kepakaran akademik, tetapi juga bertujuan mempererat hubungan dengan masyarakat setempat serta mempromosikan penggunaan teknologi dan ilmu untuk manfaat bersama.
Majlis ini turut dirasmikan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Dato’ Haji Mohd. Noorazam Dato’ Haji Osman, yang menyokong inisiatif UTM dalam mendorong komuniti meneroka kemahiran baharu dan memanfaatkan peluang ekonomi melalui program seumpama ini. Peserta bengkel diajar teknik-teknik penting dalam pembuatan sabun yang boleh meningkatkan nilai produk di pasaran. Sesi praktikal memberi peluang kepada peserta untuk mencuba sendiri proses pembuatan sabun dengan bimbingan tenaga pengajar UTM.
Bengkel ini merupakan salah satu inisiatif untuk mendorong komuniti setempat mempelajari kemahiran baharu yang mampu menjana pendapatan. Program ini mencerminkan komitmen UTM dalam memperkasa komuniti melalui pendidikan dan teknologi, selaras dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat dan sumbangan kepada pembangunan sosial.
Dengan penyertaan yang memberangsangkan, bengkel ini diharapkan menjadi platform bagi komuniti meneroka potensi perniagaan kecil-kecilan berasaskan produk buatan sendiri, seterusnya memupuk gaya hidup lebih lestari dalam kalangan peserta.
Oleh Dr. Mira Panadi, Pensyarah Kanan Jabatan Biosains, Fakulti Sains