November 29, 2024

Search
Close this search box.
Dr Mimi

UTM antara lima organisasi diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan KKP Negara

BANGI, 3 Sept – Satu konvensyen buat julung kalinya diadakan bagi mengiktiraf lima organisasi yang terpilih sebagai Pusat Kecemerlangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara. Pengiktirafan ini merupakan salah satu inisiatif yang dimasukkan di dalam Pelan Induk KKP Negara 2021-2025 (OSHMP25) di bawah Teras Strategik 3, yang memfokuskan kepada usaha menggalakkan pendidikan dan penyelidikan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Dengan tema ‘KKP Inklusif – Kebersamaan dan Komitmen’, Teras Strategik 3 menekankan kepentingan untuk menyelaras aktiviti penyelidikan KKP di semua universiti dan pusat penyelidikan di seluruh negara. Langkah ini dimulakan dengan mengenal pasti bidang kepakaran KKP yang sedia ada di pelbagai institusi, dengan tujuan untuk memanfaatkan kekuatan yang ada serta merapatkan jurang pengetahuan dan kemahiran di kalangan institusi penyelidikan.

Dr Mimi
Beberapa bahan rujukan berkaitan KKP turut dipamerkan sempena acara berkenaan

Selepas hampir dua tahun melalui proses lawatan, audit, dokumentasi dan pelaporan, akhirnya lima organisasi telah terpilih untuk mendapat pengiktirafan sebagai pusat kecemerlangan dengan bidang tumpuan KKP masing-masing bagi tempoh 2023 hingga 2026. Organisasi yang terpilih adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diiktiraf dalam bidang Keselamatan Pekerjaan bagi Binaan Bangunan dan Kerja-kerja Kejuruteraan, diikuti oleh Universiti Teknologi Petronas (UTP), yang memfokuskan kepada Kesihatan Pekerjaan dengan tumpuan terhadap Kesihatan Mental.

Selain itu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diberi pengiktirafan dalam bidang Kesihatan Pekerjaan yang menumpukan kepada Higien Industri dan Ergonomik, manakala Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) diiktiraf dalam bidang Keselamatan Pekerjaan bagi Keselamatan Eletrik dan Tenaga. Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) turut mendapat pengiktirafan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Majlis pengkitirafan ini telah diadakan bersempena Konvensyen Pendidikan dan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2024 yang bertempat di Bangi Avenue Convention Centre. Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, yang turut menyampaikan pengiktirafan kepada kesemua lima organisasi yang tepilih. Selain itu, konvensyen tersebut juga menyaksikan pelancaran Modul Induksi KKP dan Modul Keselamatan Makmal/Bengkel di Institusi Pengajian Tinggi.

Proses pengiktirafan bagi UTM telah diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim, yang merupakan Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan dan Kesihatan. Beliau menyatakan rasa syukur dan bangga atas pengiktirafan ini, yang terhasil daripada kerjasama erat semua kumpulan penyelidikan, pusat, institusi, serta program yang terlibat dalam aktiviti berkaitan KKP di seluruh kampus UTM. Selain itu, usaha ini juga mendapat sokongan yang kuat dari Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, yang turut memberikan sumbangan besar dalam membantu menjayakan projek ini.

Dr Mimi
Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani semasa di Konvensyen Pendidikan dan Penyelidikan KKP

Pengiktirafan ini merupakan bukti komitmen UTM dalam bidang penyelidikan dan keselamatan pekerjaan, serta usaha berterusan mereka untuk memastikan amalan terbaik dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan diterapkan di seluruh institusi pengajian tinggi di negara ini. Tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja UTM yang telah terlibat dalam menjayakan usaha dan pengiktirafan ini.

Explore More