November 24, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at beefc

Sidang Kemuncak ESG 2024: KRP gilap kepimpinan mahasiswa melalui program kelestarian alam

JOHOR BAHRU, 25 Ogos – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh usaha dalam membangunkan mahasiswa global dan holistik dengan menghantar dua wakil ke ESG (Environmental, Social, and Governance) Global Young Leaders Summit 2024. Program berprestij ini berlangsung dari 21 hingga 25 Ogos 2024 di tiga lokasi utama iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Chagar Hutang, Pulau Redang, dan Pulau Bidong.

Dua pelajar yang mewakili KRP dalam program ini ialah Muhammad Khairul Nazhim bin Fadhilludin, Ketua Biro Kelestarian Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) KRP, dan Muhammad Hafizuddin bin Sahbuddin, Presiden Kelab Riverdale KRP. Mereka membawa agenda kelestarian di peringkat kolej dan universiti, selaras dengan tema program, Nurturing Future Leaders for Ocean and Environmental Stewardship.

IMG
Muhammad Hafizuddin (dua dari kanan) dan Khairul Nazhim (pertama dari kanan) bersama peserta lain di booth ESG selepas sesi farewell dinner pada malam terakhir program
WhatsApp Image at aeed
Poster program yang digunakan oleh mahasiswa KRP sewaktu sesi pembentangan aktiviti kelestarian kolej

Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, yang menekankan kepentingan keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam sekitar dalam ucapannya. Beliau juga menyeru Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) lain untuk turut serta dalam menjayakan misi ESG ini. Pada masa yang sama, beliau melancarkan sebuah buku hasil garapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Prof. Dr. Mohamad Salmi Mohd Sohod, dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, En. Hirman Awang, yang juga merangkap Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa. Program ini disertai oleh lebih 150 mahasiswa tempatan dan antarabangsa.

IMG
Gimik perasmian oleh Datuk Ts. Mustapha Sakmud
IMG
Sesi penyampaian cenderahati oleh Prof. Dr. Mohamad Salmi kepada Datuk Ts. Mustapha Sakmud

Sepanjang program, peserta terlibat dalam aktiviti praktikal seperti pemuliharaan penyu laut, yang mengasah kemampuan mereka dalam memberi pandangan praktikal mengenai penjagaan alam sekitar. Pembelajaran berasaskan pengalaman ini mengukuhkan lagi komitmen mereka terhadap usaha mengekalkan kelestarian alam.

Hasil daripada sidang kemuncak ini dijangka mampu memfokuskan para peserta kepada agenda kelestarian dengan menyepadukan prinsip ESG ke dalam kepimpinan mereka di universiti masing-masing. Pendekatan ini bertujuan memupuk generasi pemimpin baru yang lebih bertanggungjawab dan komited terhadap kelestarian alam sekitar.

WhatsApp Image at aab
Khairul Nazhim sewaktu sesi peningkatan kesedaran terhadap aktiviti pemuliharaan penyu laut
WhatsApp Image at faa
Muhammad Hafizuddin selepas menerima sijil penyertaan dari pihak urusetia

Sidang kemuncak ini turut mengetengahkan sesi perkongsian daripada pakar industri, melengkapkan peserta dengan kemahiran dan pengetahuan praktikal yang merapatkan jurang antara teori dan amali dalam pelaksanaan inisiatif ESG. Lima resolusi pemimpin muda dirumuskan daripada sidang kemuncak ini, yang menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara universiti, industri, dan komuniti dalam pengawasan ESG serta aktiviti kelestarian alam.

Selain itu, sidang kemuncak ini juga memperkasa mahasiswa di universiti dalam mempersiap tenaga kerja celik ESG, serta meluaskan rangkaian ESG muda global untuk menjamin jaringan kerjasama dan pembangunan modal insan yang lestari. Nilai-nilai ESG turut disemai dalam kalangan pelajar sekolah menengah, dan inisiatif pengisytiharan Duta Muda ESG 2024 dilaksanakan sebagai simbol komitmen untuk masa depan yang lebih terjamin.

IMG
Peserta bersama En. Mohamad Mohar Ibrahim, pengasas MMI Associate, selepas sesi perkongsian pakar
IMG
Peserta bergambar bersama Dr. Azlinariah Abdullah dari kumpulan editorial Astro Awani selepas sesi perkongsian pakar

Secara keseluruhannya, Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Global ESG 2024 ini memberikan pengalaman berharga kepada peserta melalui aktiviti forum, pemuliharaan di Pulau Redang, serta pelancaran beberapa inisiatif kelestarian yang berimpak tinggi. Pengalaman ini pasti memperkukuh komitmen peserta untuk memajukan prinsip ESG.

Sidang kemuncak ini juga berjaya memperkasa peserta dalam kepimpinan ESG melalui aktiviti praktikal dan pemahaman yang dipertingkatkan, sekali gus mempersiapkan mahasiswa untuk memacu perubahan yang lebih baik.

Sidang kemuncak ini juga menjadi platform untuk memperkukuh haluan ESG masa hadapan dengan menerap serta mempertingkat pengetahuan peserta ke tahap yang lebih tinggi, kaedah perlaksanaan yang lebih berkesan, serta kaedah tadbir urus baru yang lebih efisien. Komitmen dan resolusi yang dihasilkan daripada sidang kemuncak ini berpotensi mengubah peranan belia dan mahasiswa dalam inisiatif ESG, dengan fokus yang lebih jelas terhadap agenda kelestarian alam sekitar.

Explore More