September 19, 2024

Search
Close this search box.
FB IMG

JOHOR BAHRU, 17 Ogos – Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan berlangsung dengan meriah di Dataran UTM, UTM Johor Bahru bermula Khamis lalu. Acara yang berlangsung selama tiga hari ini buat julung kalinya memilih UTM sebagai lokasi rasmi bagi penganjuran di Zon Selatan melibatkan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Menerima lebih 200,000 orang pengunjung, pelbagai program dan aktiviti tersedia melibatkan pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan negeri.

Penganjuran acara mega untuk rakyat ini turut meliputi kawasan sekitar Dataran UTM bagi memenuhi keperluan penganjuran aktiviti dan parkir bagi para pengunjung, petugas dan juga tetamu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan berkata “UTM amat berbesar hati menjadi sebahagian daripada penganjuran acara mega ini. Pemilihan UTM sebagai lokasi utama menunjukkan kita mempunyai kekuatan dan kesediaan dari sudut fasiliti dan keperluan bagi acara-acara sebegini. Dataran UTM sering kali menjadi pilihan sebagai lokasi penganjuran berskala besar bagi pelbagai acara bukan sahaja acara Universiti bahkan acara luar yang melibatkan pelbagai pihak.

FB IMG
Prof. Datuk Ahmad Fauzi ketika di pavilion STEM/AI UTM

“Menerusi penganjuran PMR 2024 Zon Selatan, UTM juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak Kerajaan atas kepercayaan untuk terlibat dalam agenda besar negara khususnya bersama-sama dengan Kementerian Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri dan pihak SUK Negeri. UTM sentiasa bersedia menyokong program yang dapat memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” ujar Prof. Fauzi.

Sementara itu, selain menjadi lokasi penganjuran PMR, UTM turut sama memanfaatkan peluang yang ada dengan turut sama menganjurkan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung. Antaranya UTM menjadi antara pempamer di ruang pavilion STEM/AI yang mengetengahkan inovasi dan kejuruteraan di samping berkongsi pengetahuan bersama pengunjung terutamanya para pelajar sekolah menerusi Sesi Pocket Talk dan Classroom.

FB IMG

FB IMG

Pavilion STEM/AI  juga turut menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir bagi menyantuni pempamer dan para pengunjung meneroka dan merasai sendiri kecanggihan inovasi bidang sains, teknologi dan kecerdasan buatan.

FB IMG
YB Dato’ Seri Diraja Zambry bersama pempamer UTM

FB IMG

Selain itu, aktiviti riadah anjuran UTM seperti Pertandingan Memancing, Pertandingan Geocatching Sekolah Menengah Negeri Johor dan Aktiviti Menunggang Kuda di Pusat Ekuin UTM turut merancakkan lagi aktiviti sedia ada yang dirangka oleh penganjur.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merupakan acara kesinambungan rentetan Program Setahun Kerajaan MADANI yang diadakan pada Disember 2023 dan dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Johor.

FB IMG

Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan yang berlangsung petang tadi bukan sahaja acara kemuncak bagi penganjuran pelbagai aktiviti dan program bahkan menjadi platfrom bagi rakyat mengetahui pencapaian Kerajaan dari sudut ekonomi negara menerusi Sesi Forum dan Dialog: Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI.

Explore More