Mewujudkan iklim dan budaya yang inklusif di fakulti adalah proses menyeluruh dan berterusan yang memerlukan usaha merentasi pelbagai dimensi kehidupan di sesebuah fakulti di institusi pengajian tinggi. Komitmen pemimpin merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemupukan iklim dan budaya inklusif di fakulti.
Pemimpin mestilah menyokong nilai inklusif dan menunjukkan tingkah laku inklusif dalam tindakan harian dan proses membuat keputusan mereka (Dawson & Kadi-Hanifi, 2022). Mereka perlu menunjukkan rasa hormat dan kesaksamaan dalam interaksi mereka, mengutamakan inisiatif kepelbagaian (diversity), ekuiti (equity) dan rangkuman (inclusivity) (DEI), dalam perancangan strategik dan memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk menyokong inisiatif ini dengan berkesan.
Dasar yang jelas perlu dimaklumkan kepada semua warga fakulti dan boleh digunapakai dalam membentuk asas kepada persekitaran yang inklusif. Fakulti perlulah mempunyai akses kepada dasar yang jelas dalam menangani diskriminasi dan gangguan, serta dasar ini harus dikuatkuasakan secara konsisten. Dasar ini perlu sentiasa disemak dan dikemas kini bagi mencerminkan pemahaman baharu dan amalan terbaik dalam DEI.
Pendidikan dan latihan memainkan peranan penting dalam memupuk budaya inklusif. Latihan DEI perlu dikuti oleh semua warga fakulti dan latihan tersebut harus meliputi topik keadilan, kecekapan budaya dan amalan pengajaran inklusif. Latihan ini harus dilengkapi dengan peluang untuk pembangunan profesional yang berterusan, menggalakkan fakulti untuk terus memperhalusi kemahiran dan pemahaman warga fakulti dalam bidang ini.
Amalan pengambilan staf baharu juga penting dalam membina fakulti yang pelbagai. Amalan untuk memastikan jawatankuasa pengambilan staf baharu adalah daripada panel yang pelbagai latar belakang dan kepakaran supaya wujud kepelbagaian, inklusif dan adil. Amalan pengambilan staf baharu yang cekap membantu proses menarik pelbagai calon baharu yang hebat dan memastikan proses pemilihan adalah saksama.
Kurikulum dan pedagogi harus mencerminkan dan menyokong kepelbagaian. Ini melibatkan penyepaduan pelbagai perspektif ke dalam bahan kursus dan menggunakan kaedah pengajaran yang efektif dan menggalakkan penyertaan semua pelajar tanpa mengira perbezaan latar belakang, kaum dan agama. Pendekatan sebegini memastikan semua suara diwakili dan dihargai dalam persekitaran akademik. Rangkaian sokongan dan program bimbingan secara individu atau berkumpulan juga boleh digalakkan untuk memupuk budaya inklusif.
Mekanisme maklum balas adalah penting untuk menilai keberkesanan inisiatif DEI dan membuat penambahbaikan yang diperlukan. Tinjauan biasa boleh mengukur iklim fakulti, manakala forum terbuka atau mesyuarat boleh membenarkan perbincangan secara telus tentang kebimbangan, keterangkuman dan penyelesaian yang berpotensi. Medium ‘private’ untuk melaporkan insiden diskriminasi atau berat sebelah bagi memastikan isu ditangani dengan segera dan berkesan juga perlu disediakan.
Meraikan kepelbagaian adalah aspek penting dalam memperkukuh iklim inklusif di sesebuah organisasi. Mengiktiraf dan meraikan pencapaian ahli fakulti yang pelbagai dan menganjurkan acara kebudayaan boleh menyerlahkan lagi nilai perspektif yang berbeza dan memupuk persekitaran yang positif di fakulti.
Menangani konflik yang berkaitan dengan keterangkuman dan memastikan penambahbaikan berterusan adalah kritikal. Menyediakan sumber untuk penyelesaian konflik dan mewujudkan saluran untuk melaporkan isu-isu diskriminasi dapat membantu pihak fakulti mengurus dan menyelesaikan isu secara konstruktif. Melalui usaha yang menyeluruh dan berterusan, fakulti boleh memupuk iklim di mana setiap ahli berasa dihargai, dihormati dan diberi kuasa untuk menyumbang sepenuhnya kepada komuniti akademik di fakulti.
Rujukan:
Dawson, P., & Kadi-Hanifi, K. (2022).Creating inclusive academic cultures in higher education: A framework for improvement. Higher Education Research & Development, 41(1), 119-134. [DOI: 10.1080/07294360.2021.2015208]