November 26, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Majlis pelantikan pembimbing dan wakil Jawatankuasa Penerapan Nilai-Nilai Islam (JAPNI), bagi program pembudayaan al-Quran peringkat Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Masjid Sultan Ismail, UTM. Majlis ini diadakan bagi menghargai komitmen dan usaha berterusan para pembimbing dan wakil Pusat Tanggungjawab (PTJ) dalam menghidupkan agenda pembudayaan al-Quran di seluruh UTM.

Wakil JAPNI yang dilantik berperanan sebagai pemudah cara dalam membuat hebahan, menyediakan ruang bersesuaian untuk menjalankan program pembudayaan al-Quran selain menjadi penghubung antara staf di PTJ bersama pembimbing. Pembimbing yang dilantik terdiri daripada staf Pusat Islam UTM (PIUTM) dan staf dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) yang akan memberikan perkongsian serta mengendalikan program pembudayaan al-Quran pada setiap minggu.

WhatsApp Image at PM ()
Sesi penyampaian cenderahati daripada Pusat Islam kepada Puan Nor Azizah Ismail (tiga dari kiri)

Pengisian program telah dirangka dengan menitikberatkan nilai Integrity (Integriti), Synergy (Sinergi), Excellence (Kecemerlangan), Sustainability (Kelestarian) atau dikenali sebagai ISES dalam modul. Selain modul tilawah, tajwid dan tadabbur (3T), Pusat Islam turut membekalkan dua buah buku kepada pembimbing, iaitu himpunan hadis 40 nilai murni oleh Prof. Dr. Ajmain Safar dan Prof. Dr. Mohd Azraai Kassim, serta buku hadis nilai ISES oleh Dr. Mohd Nasir Masroom.

Menurut Ustaz Mohd Firdaus Fazim @ Padzim yang merupakan setiausaha JAPNI, Program pembudayaan al-Quran ini juga dikenali sebagai program Kalam Suci yang dilaksanakan di surau-surau kolej. Program Kalam Suci ini telah diselaraskan oleh Ustaz Panji Alam dengan menggilirkan pembimbing dari PIUTM untuk memberikan perkongsian bersama pelajar di surau-surau kolej pada waktu malam.

WhatsApp Image at AM
Wakil Pembimbing Dr. Aminudin Hehsan (tiga dari kiri) dari Akademi Tamadun Islam, FSSH menerima watikah pelantikan

Majlis pelantikan yang dihadiri pendaftar UTM, Puan Nor Azizah Ismail melalui ucapan beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pusat Islam UTM (PIUTM) atas perjuangan dalam memperjuangkan program pembudayaan al-Quran. Beliau berharap dengan adanya imej dan aktiviti baharu ini dapat memberi lebih impak kepada staf di UTM.

“Jawatankuasa Pengurusan Universiti telah bersetuju untuk menguatkuasakan semula program pembudayaan al-Quran UTM sebagai program wajib universiti. Pekeliling pentadbiran juga telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar untuk memperkasakan semula program pembudayaan al-Quran UTM bertepatan dengan usaha semua PTJ untuk melaksanakan mesyuarat di peringkat fakulti”.

“Seperti yang kita tahu, Yang Berbahagia Naib Canselor juga telah menekankan bahawa program pembudayaan al-Quran ini perlu dilaksanakan di semua PTJ. Untuk makluman semua, ini juga adalah antara inisiatif di bawah program ISES yang pertama-tamanya digerakkan oleh Pusat Islam dan selepas ini kita akan ada banyak lagi program di bawah ISES” ujar Puan Nor Azizah.

WhatsApp Image at AM
Encik Mohammad Zulfadhli Mokhtar (tiga dari kiri) pemudahcara bagi PTJ Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi menerima watikah pelantikan

Diharap melalui program pembudayaan al-Quran peringkat UTM ini menjadi titik permulaan bagi penyuburan ISES dalam kalangan warga UTM selain membantu dalam meningkatkan sahsiah dan akhlak staf UTM. Dengan komitmen yang teguh dari pihak universiti dan sokongan padu daripada seluruh warga UTM, program pembudayaan al-Quran ini bukan sahaja menjanjikan penyuburan nilai-nilai murni, tetapi juga memperkukuh ikatan ukhwah dalam kalangan staf. Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada institusi lain dan membawa keberkatan kepada seluruh komuniti UTM.

WhatsApp Image at PM
Antara wakil JAPNI dari PTJ yang hadir menyaksikan pelantikan pembimbing dan wakil JAPNI

Explore More