November 26, 2024

Search
Close this search box.

Jalinan ilmu pustakawan UTMKL membangunkan masyarakat asli

PAHANG, 24 Mei – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS) Kuala Lumpur telah menganjurkan program khidmat masyarakat bertajuk “Program Memartabatkan Orang Asli Melalui Pendidikan STEM, Perpustakaan, Fun Learning Toy Library (FLTL) dan OSH” di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang pada 19 hingga 21 Mei 2024.

Program turut dihadiri oleh Profesor Ir. Dr. Abd Latif bin Saleh Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) dalam menyokong aktiviti komuniti ini. Program telah dirasmikan oleh En. Muhamadiah Iskandar bin Mohamed, Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.

Tujuan program diadakan adalah untuk menyumbang kepada komuniti setempat, program ini turut memberi pendedahan kepada warga UTM tentang kepentingan merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat terpinggir. Para pelajar berpeluang mempraktikkan ilmu yang dipelajari untuk dimanfaatkan bersama komuniti sekali gus memberi impak positif kepada suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

Seramai 4 orang staf wakil dari Perpustakaan UTM Kuala Lumpur yang terlibat iaitu Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Zanariah Kuala Lumpur (PSZKL); Puan Nurrull Huda Abdul Wahid, Pustakawan; Encik  Ahmad Khairu Mahfuz Mamat dan Encik Muhammad Hanis Rahim, Pembantu Pustakawan. Beberapa aktiviti telah dirangka oleh Perpustakaan UTM kepada Pusat Sumber sekolah tersebut.

Projek pertama adalah penubuhan UTM Reading Station yang merupakan penjenamaan kepada produk yang dihasilkan oleh Perpustakaan UTM untuk digunapakai sebagai ruang program membaca. Di ruang tersebut, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur ada menyumbang bahan bacaan sekolah rendah yang dimohon dari Perpustakaan Negara Malaysia. Bahan tersebut terdiri daripada bahan fiksyen dan bukan fiksyen yang melangkaui subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

UTM Reading Station yang diwujudkan di Pusat Sumber SK Lemoi.

Selain itu, Program Literasi Makumat juga diberikan kepada 20 orang murid sekolah yang melibatkan pengawas pusat sumber dan pelajar Tahap 2. Penerangan ringkas kepada peserta berkenaan “Kenali Buku Anda” diberikan bagi memberi input yang tepat dalam pengisian data di Buku NILAM di mana ianya merupakan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menyuburkan budaya membaca diperingkat sekolah. Soal selidik berkenaan pembacaan juga diberikan kepada murid sekolah ini dalam melihat sejauh mana persepsi mereka terhadap pembacaan.

Program Literasi Makumat “Kenali Buku Anda” dilaksanakan.

Kesemua aktiviti ini dibantu oleh pelajar UTM dalam memudahcara dan memberi pendedahan serta pengalaman kepada mereka dalam berkomunikasi dengan murid sekolah rendah di sana. Pelajar UTM ditugaskan untuk menyusun bahan bacaan yang telah dikategorikan kepada 4 jenis bahan mengikut stiker warna yang telah ditetapkan.

Perancangan pada masa akan datang, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur akan bersinergi bersama pihak pusat sumber sekolah dengan mengadakan Program Book sharing @UTMKL secara langsung bersama murid di sekolah tersebut dalam memberi pengalaman baru kepada mereka untuk berkongsi bahan bacaan dan buku pilihan mereka kepada komuniti secara meluas.

Komputer yang disumbangkan oleh pihak Theta Edge Berhad memberi inspirasi baru kepada pelajar dalam penggunaan pembelajaran dan ke arah pengurusan perpustakaan secara digital. Peringkat awal, Perpustakaan juga bercadang akan membuat satu projek bersama Guru dan Pengawas Pusat Sumber dengan menyenaraikan bahan yang ada dalam koleksi mereka di dalam Microsoft Excel dan dimuat naik ke Google Drive untuk mudah diakses oleh semua.

Program khidmat masyarakat di SK Lemoi ini merupakan satu pengalaman baharu dan mencabar buat warga Perpustakaan UTM Kuala Lumpur. Namun, melihat hasil serta impak positif yang diperolehi, ia memberi kepuasan tersendiri. Perpustakaan sebagai gedung ilmu mampu memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang pendidikan dalam kalangan masyarakat terpinggir.

Pasukan yang terlibat melibatkan staf dan pelajar UTM serta industri Theta Edge Berhad.

Seiring dengan sokongan kepada matlamat Pembangunan Lestari yang mampan. Program ini telah menyokong kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Menjamin pendidikan menyeluruh secara inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat dan  SDG 10: Mengurangkan ketidaksamaan dengan memberikan sokongan dan sumber kepada komuniti yang terpinggir​.

Melalui inisiatif seumpama ini, bukan sahaja kita dapat menyumbang kepada komuniti, malah membuka peluang untuk pelajar UTM menimba pengalaman sebenar di lapangan. Pengorbanan masa dan tenaga ini sedikit sebanyak telah menyemai benih-benih ilmu kepada generasi baharu yang pada suatu hari nanti akan mekar menjadi insan yang lebih celik pengetahuan dan cintakan pembacaan.

Perpustakaan akan terus mencari peluang untuk berkolaborasi dengan pelbagai pihak dalam memperkasakan perkhidmatan dan khidmat bakti kepada masyarakat. Semoga jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan secara optimum demi membina Malaysia yang lebih mampan dan mengutamakan pendidikan sepanjang hayat.

Explore More