November 16, 2024

Search
Close this search box.
Featured Image NewsHub ()

Hari Guru 2024: Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani

Jika ditanya kepada sesiapa sahaja di dunia ini, selain ibu bapa yang bertanggungjawab memberi didikan kepada mereka, siapa lagi insan yang memainkan peranan membentuk peribadi dan sikap mereka sehingga berada pada tahap ini, pasti jawapan yang akan diberikan adalah guru. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘Guru’ atau ‘Aasiriyar’ (ஆசிரியர்) dalam bahasa Tamil dan ‘Lao Shi’ (老师) dalam bahasa Mandarin, merujuk kepada orang yang mengajar, atau lebih dikenali sebagai pendidik, pengajar dan pengasuh. Andai dirujuk definisi yang diberikan oleh DBP, maka ahli akademik atau pensyarah mahupun pengajar dan guru bahasa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini juga merupakan insan yang bergelar guru.

Guru merupakan insan penting yang memberikan pengetahuan duniawi dan ukhrawi kepada kita dan membentuk kognitif, psikomotor dan afektif individu sama ada secara formal mahupun bukan formal. Dalam ekosistem pendidikan tinggi khususnya di UTM, pensyarah bertanggungjawab menyampaikan pengetahuan melalui kuliah, membentuk kemahiran seseorang pelajar melalui kepelbagaian aktiviti sama ada dalam dewan kuliah, makmal dan sebagainya, dan menerap kemahiran insaniah hasil daripada pelaksanaan dan penglibatan aktif pelajar dalam pelbagai aktiviti akademik mahupun bukan akademik. Benarlah kata-kata Sasterawan Negara, Almarhum Dato’ Usman Awang, melalui karyanya bertajuk “Guru oh Guru”, “Dialah ibu dialah bapa juga sahabat, alur kesetiaan mengalirkan nasihat.”

Tema Hari Guru pada tahun ini ialah “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani”. Secara umumnya, tema tersebut berkaitan dengan inisiatif pendidikan di Malaysia yang bertujuan untuk membangunkan guru yang mampu menjadi pemimpin dalam memanfaatkan teknologi digital dalam proses pembelajaran. “Guru Jauhari” merujuk kepada guru yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tidak ternilai, manakala “Aspirasi Negara Madani” merujuk kepada aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara yang maju, beradab, dan inklusif, manakala “Digital” merujuk kepada yang teknologi digital memainkan peranan penting dalam mencapai matlamatnya.

“Sebagai universiti yang bertunjangkan teknologi dan kejuruteraan, UTM melalui Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) pastinya mendidik pelajar prasiswazah yang merupakan bakal guru sekolah menengah dan juga pelajar pascasiswazah yang rata-ratanya merupakan guru dalam perkhidmatan melalui kursus-kursus berteraskan teknologi untuk mengasah kemahiran digital mereka.”

Misalnya, semua mahasiswa prasiswazah merentas semua program diwajibkan mengambil kursus teras fakulti seperti SHPP1042 (Educational Technology), SHPP1032 (Telecommunications and Computer Network) dan SHPP 4722 (Online Learning & Teaching Techniques). Sekolah Pendidikan turut menawarkan kursus elektif kepada kelompok bakal guru ini melalui kursus SHPP 2333 (Development of Digital Learning Object and Mobile Application), SHPP3303 (Creative Multimedia Technology) dan SHPP2102 (Basic Programming). Jadi sudah terang lagikan bersuluh bahawa UTM khususnya melalui Sekolah Pendidikan sudah bersedia melahirkan generasi pendidik yang berkemahiran dan fasih digital dalam membangunkan Malaysia Madani. Hal ini segulai sejalai dengan Dasar Pendidikan Digital yang diluncurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan mengupaya pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasi teknologi digital dalam ekosistem pendidikan. Hal ini penting untuk menghasilkan murid yang fasih digital dalam usaha untuk memenuhi keperluan era digital.

Selain itu, Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) ialah satu cara pembelajaran dari jauh tanpa perlu sentiasa melibatkan pertemuan secara bersemuka dengan pengajar di dalam kelas. Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh di UTM menawarkan cara baharu untuk menggabungkan teknik pembelajaran dan pengajaran yang inovatif dengan interaksi dengan pensyarah dan pelajar dari seluruh dunia. Program ODL menawarkan penyampaian pembelajaran sepenuhnya secara dalam talian. Kursus dalam talian menawarkan fleksibiliti kepada pelajar untuk belajar dari mana-mana dan pada bila-bila masa hanya dengan adanya capaian Internet. Program ODL peringkat sarjana yang ditawarkan oleh Sekolah Pendidikan termasuklah Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan), Sarjana Pendidikan (Fizik), Sarjana Pendidikan (Matematik) dan Sarjana Pendidikan (Pendidikan Teknik dan Vokasional).

“Melalui program ini, pelajar akan dapat menggunakan pelbagai jenis teknologi digital serta perisian dan aplikasi yang sesuai dengan cekap untuk meningkatkan pembelajaran dan penyelidikan. Dalam persekitaran ODL, kemahiran digital adalah teras kepada kejayaan pelajar dalam program Pendidikan Matematik. Pensyarah juga akan dilatih, secara berterusan, untuk menggunakan alat berteknologi terkini dalam pendidikan. Ini termasuklsh membangunkan kemahiran dalam membuat video berkualiti dan menganalisis respons pelajar dalam forum secara dalam talian.”

Kemahiran digital dianggap kritikal untuk pelajar dan juga pensyarah kerana persekitaran ODL akan menjadikan pengajaran dan pembelajaran dalam talian sepenuhnya, tanpa sebarang interaksi secara bersemuka. Pelajar perlu menunjukkan kemahiran dalam mereka bentuk, merancang dan melaksanakan analisis statistik dan/atau teks melalui penyelidikan kuantitatif dan/atau kualitatif sebagaimana yang ditawarkan dalam kursus. Pelajar akan mempelajari kaedah menjalankan analisis menggunakan alatan terkini, seperti SmartPLS, Rasch dan SPSS. Pelajar juga akan disokong untuk melakukan analisis apabila melakukan projek sarjana kerana mereka perlu mengumpul dan menganalisis data.

Tuntasnya, perkembangan dan kepesatan teknologi tidak boleh dielakkan. Sekiranya kita leka, kita akan terus hanyut dek arus perkembangan kepesatan teknologi yang tiada noktahnya. Seiring dengan perkembangan teknologi, pendidikan juga tidak terkecuali dalam transisi ke arah pendigitalan. UTM khususnya Sekolah Pendidikan berusaha untuk menghasilkan bakal guru dan melatih guru dalam perkhidmatan yang kompeten dan fasih digital demi memenuhi hasrat Malaysia Madani.

Selamat Hari Guru 2024!

Explore More