JOHOR BAHRU, 17 Mac – “Komponen Integriti dalam nilai teras Universiti, ISES seharusnya dijadikan prinsip, panduan, budaya dan identiti organisasi disulami pula dengan Adab demi membentuk keperibadian dan tingkah laku staf yang beretika,” seru Puan Hajah Nor Azizah Ismail, Pendaftar UTM.
“Kita mahu nilai Integriti dan nilai teras ISES yang lain menjadi tunjang dalam pembangunan struktur, polisi, proses kerja dan strategi Universiti dalam menzahirkan ekosistem kerja dengan tadbir urus yang telus dan cekap.
“Di samping itu, Universiti menerusi Pusat Islam akan mewujudkan Kerangka Baharu Program Budaya Al-Quran yang lebih menyeluruh demi memantapkan lagi pembangunan kerohanian, keperibadian dan emosi dalam kalangan staf,” ujar Puan Nor Azizah.
“Jagalah Nilai, Adab dan Jati diri kita dalam apa jua tugas yang diamanahkan, kerana walaupun perkara tersebut tidak diukur dalam penilaian prestasi pekerjaan, tetapi ia diukur sebagai KPI kita kepada Allah SWT.
Adaptasi Transformasi Digital
Menginsafi bahawa dunia kini semakin berubah ke arah transformasi digital, Puan Hajah Nor Azizah menekankan kepada semua staf Pengurusan Profesional & Pelaksana (PPP) agar bersedia untuk berubah agar kekal relevan dan kompeten.
“Staf UTM tanpa mengira skim perkhidmatan perlu mencapai tahap kompetensi digital yang disasarkan lantaran kerangka tadbir urus Universiti akan berubah mengikut keperluan masa hadapan, yang mana suasana dan persekitaran tugas akan lebih dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi dan data analitik,” jelas beliau mengenai kepentingan adaptasi transformasi digital dalam kalangan staf PPP.
“Mendepani cabaran dunia masa kini, adaptasi transformasi digital akan memberi impak kepada Universiti terutama dalam membangunkan strategi, struktur governans, polisi dan proses kerja, serta menambah baik perkhidmatan dan kompetensi sumber manusia yang sedia ada.
“Perubahan ini sejajar dengan hasrat Universiti dalam meningkatkan produktiviti staf dan mengurangkan kos operasi, di samping menambahkan kecekapan urus tadbir serta meningkatkan kepuasan pelanggan dan pemegang taruh dalam berurusan.
“Oleh yang demikian, semua staf PPP disaran dan diseru untuk meningkatkan kemahiran (upskilling) kompetensi digital menerusi pelbagai kursus yang ditawarkan sama ada di peringkat Universiti anjuran CTLD atau anjuran PTJ masing-masing,” ulas beliau.
Mendepani Ketidaktentuan Pendidikan Tinggi
Puan Hajah Nor Azizah turut mengulas cabaran dan ketidaktentuan yang akan dihadapi arena pendidikan tinggi dalam ledakan transformasi digital.
“Pendidikan tinggi dilihat sudah mula berubah secara radikal. Dengan suasana persekitaran interaktif penuh dengan peranti teknologi, Universiti masa hadapan tidak lagi memerlukan sesi pengajaran dan pembelajaran yang bersifat konvensional.
“Teknologi AI menjadi ganti pensyarah dalam melaksanakan penilaian, maklumat boleh dimuat turun dengan mudah tanpa mengira masa dan keberadaan, teknologi biometrik digunakan untuk mengesan perubahan tingkah laku dan fisiologi.
“Suka atau tidak, semua perubahan ini akan kita hadapi bermula masa kini. Sekiranya kita tidak berubah, maka dikhuatiri universiti akan menjadi muzium masa hadapan,” tambah beliau.
Puan Hajah Nor Azizah menyampaikan amanat beliau dalam Majlis Aspirasi Pendaftar 2024 di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.
Majlis tersebut turut dihadiri hampir 200 orang staf PPP secara langsung di Dewan Bankuet, UTM Johor Bahru. Sementara itu, hampir kira-kira 800 staf PPP pula menonton amanat tersebut secara dalam talian.