Disediakan oleh: Mohamad Redha bin Md Dali
Prihatin akan kurangnya kesedaran tentang menjaga kesihatan tubuh badan serta pemakanan dalam kalangan kanak-kanak, sekumpulan pelajar dari Kursus Budi Penyayang, Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengambil inisiatif bagi menganjurkan program MyBFF (My Body Fit and Fabulous) bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara Rini 2, Johor Bahru.
Ianya merupakan anjuran bersama Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bharu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN (Johor) serta syarikat San Suria Gym.
Program tersebut bertujuan membina keyakinan diri, memberikan maklumat berkenaan maklumat pemakanan yang seimbang serta memberikan panduan teknik latihan kecergasan fizikal kepada hampir 30 orang murid-murid berusia 10 dan 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Mutiara Rini 2 dan Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 3, Skudai yang mengalami masalah berat badan berlebihan.
“Program ini merupakan satu bentuk usaha bagi kami para mahasiswa untuk menyumbang kepada masyarakat dalam membentuk generasi yang lebih sihat,” kata pengarah program MyBFF, Muhammad Akmal bin Abdul Aziz.
Antara aktiviti yang telah dijalankan termasuklah ceramah keyakinan diri yang telah disampaikan oleh Puan Junaina binti Jais dari Unit Kauseling LPPKN Johor, serta ceramah diet pemakanan yang sihat oleh Encik Zaid bin Ramlah oleh Jabatan Kesihatan serta aktiviti latihan kecergasan fizikal daripada Encik Amirul, pelatih kecergasan bertauliah dari San Suria Gym, Taman Universiti.
Program turut disempurnakan dengan perasmian penutup oleh Encik Rashid bin Paboh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru.
Beliau dalam ucapannya berkata PPD sentiasa mengalu-alukan program kerjasama seperti ini daripada pihak UTM.
Beliau turut berkata bahawa program seperti ini sewajarnya dilaksanakan lagi pada masa yang akan datang supaya lebih ramai murid yang berada pada kategori berat badan berlebihan mendapat manfaat bersama.