Disember 9, 2024

Search
Close this search box.
WhatsApp Image at PM

Umpama bulan jatuh ke riba! Tiada ungkapan lebih indah selain melafazkan syukur kepada Allah, sebagaimana firman-Nya:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan.”

(Surah Taha: 114)

Rasa syukur ini juga diiringi dengan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri Ke-10 yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dengan memperuntukkan RM50 juta bagi memperluas pendidikan kecerdasan buatan (AI) kepada universiti penyelidikan melalui Belanjawan 2025. Tambahan peruntukan ini adalah lebih besar ketimbang RM20 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkasa teknologi AI di Malaysia setanding dengan negara-negara maju. Ini tidak hanya satu pelaburan dalam teknologi tetapi satu strategi untuk memperkukuh infrastruktur ilmu dan sumber manusia negara sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan pembangunan teknologi global.

Dari sudut pandang akademia, peruntukan ini memberi sinar baharu kepada agenda kecerdasan buatan di negara kita. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terkenal dengan inovasi teknologi dan penyelidikan telah menjadi peneraju dalam usaha memperkasa AI. Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pertama di Malaysia di UTM adalah bukti nyata terhadap kesungguhan universiti ini dalam meneroka potensi besar AI.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kecerdasan buatan negara melalui pelbagai inisiatif strategik. Seramai 6,214 pelajar telah mendaftar dalam program Massive Open Online Courses UTM (UTM-MOOC) dan Micro-Credential dalam AI yang bertujuan meningkatkan hasil pembelajaran serta penglibatan pelajar menjelang 2024/2025, sekali gus melahirkan generasi yang celik teknologi. Selain itu, melalui 10 kumpulan penyelidikan, UTM menggalakkan penyelidikan merentas disiplin yang memacu inovasi dan kesejahteraan sosial. Ini mencerminkan peranan universiti sebagai penyumbang utama kepada pembangunan ilmu dan teknologi.

UTM turut menerima penghormatan antarabangsa apabila telah menerima lebih 30 lawatan melibatkan 19 buah universiti antarabangsa, sembilan buah agensi kerajaan dan syarikat multinasional (MNC) serta melibatkan 378 orang pelawat. Program AI Insight yang diadakan oleh UTM menyaksikan penglibatan lebih 2,205 pelajar, 1,391 anggota komuniti dan 120 syarikat perniagaan kecil dan sederhana (SME) dalam lebih 10 projek AI, membuktikan impak yang luas terhadap masyarakat dan sektor industri.

Sehingga November 2024, Fakulti AI telah melaksanakan sebanyak 27 program dengan penglibatan enam penyedia latihan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM 540,000. Jumlah peserta yang telah mengikuti latihan ini adalah seramai 637 orang terdiri daripada 357 kakitangan UTM, 196 peserta dari institusi luar serta 84 individu dari sektor industri dan komuniti. Seramai 101 pelajar perintis kini mengikuti program Ijazah Sarjana Muda AI dengan matlamat membangunkan bakat dengan kemahiran masa hadapan melalui integrasi kurikulum akademik yang berinovasi. Inisiatif ini membuktikan komitmen UTM dalam memperkukuh AI sebagai bidang strategik negara.

WhatsApp Image at PM
Bersama ahli keluarga salah seorang pelajar perintis AI UTM
WhatsApp Image at PM ()
Bersama pelajar Kohort pertama AI UTM

Dengan sokongan dana yang besar, UTM akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan AI. Sebagai sebuah institusi yang sinonim dengan sains, teknologi dan kejuruteraan, UTM komited untuk menyediakan dan meneroka penyelidikan AI yang berimpak tinggi serta melahirkan bakat-bakat global berkemahiran tinggi yang berpotensi mengubah landskap masa hadapan negara. Fakulti AI turut berperanan dalam mengangkat martabat pendidikan tinggi negara ke pentas dunia.

Penubuhan Fakulti AI UTM kini mendapat pengiktirafan antarabangsa sekali gus menempatkan Malaysia sebagai peneraju inovasi AI di Asia Tenggara. Melalui perancangan bersepadu, fakulti ini menyediakan platform penyelidikan, pembangunan dan kolaborasi yang melibatkan akademia, pelajar dan industri dalam meneroka potensi AI bagi menyelesaikan cabaran dunia sebenar. Usaha ini seiring dengan matlamat negara untuk menjadi hab teknologi AI di rantau ini.

Inisiatif kecerdasan buatan yang dipelopori oleh UTM juga selaras dengan visi Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Prinsip MADANI menekankan keseimbangan antara pembangunan teknologi dan nilai-nilai kemanusiaan yang mana AI memainkan peranan penting dalam merevolusi pelbagai sektor tanpa mengorbankan nilai etika. AI bukan sahaja memperbaiki sistem ke arah yang lebih cekap dan berkesan dalam sektor awam dan swasta, bahkan mempercepat peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih berdaya saing dan mampan.

Bagi seluruh warga UTM, setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan buat kepemimpinan tinggi negara, di bawah teraju YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen dan sokongan yang diberikan kepada pembangunan AI di Malaysia melalui Belanjawan 2025 juga kepada YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dan YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, yang telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi teknologi dan inovasi negara.

Sesungguhnya, kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa kerjasama erat semua pihak yang terlibat. Dengan langkah yang diambil ini, Malaysia kini berada di landasan kukuh untuk menjadi negara peneraju dalam kecerdasan buatan dan pembangunan teknologi global.

UTM, Menginovasi Penyelesaian. Kerana Tuhan Untuk Manusia.

Explore More