JOHOR BAHRU, 27 Oktober — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi meneruskan inisiatif UTMPrihatin dan kali ini melalui Fakulti Sains.
Pada 8 Oktober yang lalu, sebuah majlis ramah mesra antara pihak Pengurusan Fakulti Sains bersama para pelajar dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan (B40) telah diadakan di Blok C19-314, Fakulti Sains
Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menyalurkan sumbangan staf Fakulti Sains kepada para pelajar B40 yang telah dikenalpasti dan memerlukan bantuan kewangan bagi meringankan kos sara hidup semasa melanjutkan pengajian di UTM.
Inisiatif ini merupakan satu wadah pihak Fakulti dalam meneruskan kelangsungan program Tabung Endowmen UTM.
Dalam majlis tersebut, seramai 55 orang pelajar B40 telah dikenalpasti untuk mendapat manfaat hasil dari sumbangan staf Fakulti menerusi pemotongan gaji bulanan mereka. Selain itu, seramai 43 orang Penasihat Akademik turut sama dijemput hadir bagi meraikan mereka.
Penasihat Akademik turut diberi tanggungjawab untuk memastikan pelajar-pelajar ini mendapat manfaat sewajarnya dari sumbangan Tabung Endowmen FS.
Sebagai permulaan, di bawah program kupon makanan percuma bagi Semester I Sesi 2019/2020 ini, setiap pelajar B40 akan diberikan kupon makanan percuma bernilai RM5.00 seminggu untuk tempoh selama 15 minggu mulai 6 Oktober 2019 hingga 16 Januari 2020 iaitu hari terakhir Peperiksaan Akhir Sem I 2019/2020.
Agihan kupon makanan ini merupakan peruntukan 50% daripada hasil potongan gaji staf FS pada setiap bulan.
Selain dari kupon makanan, dana Tabung Endowmen Fakulti juga digunakan untuk tujuan bayaran yuran pengajian pelajar B40 yang benar-benar kurang berkemampuan.
Jumlah sumbangan kepada Tabung Endowmen Fakulti menerusi potongan gaji staf FS diharap akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa pada masa akan datang. Selain itu, hasil penjanaan 50% dari urusan eParcel Fakulti juga turut disalurkanke Tabung Endowmen Fakulti.
Dalam majlis ini, Prof. Rahim telah membuat agihan kupon makanan yang pertama bagi bulan Oktober 2019. Manakala agihan kupon makanan seterusnya bagi bulan November dan Disember 2019 serta Januari 2020 akan dilakukan oleh Penasihat Akademik masing-masing pada setiap awal bulan berkenaan.
Ini secara tidak langsung akan menggalakkan para pelajar B40 untuk datang berjumpa dengan Penasihat Akademik secara lebih kerap dan dapat menjalin hubungan yang lebih erat selain mendapat khidmat berkaitan penasihatan akademik masing-masing.
Pihak Fakulti ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan staf Fakulti Sains melalui potongan gaji bulanan mereka dan berharap lebih ramai staf Fakulti Sains akan mengikut jejak langkah mereka untuk menyumbang ke Tabung Endowmen Fakulti pada masa akan datang.
Dilaporkan oleh: Hjh Nor Azlinda Abu Bakar