Disember 19, 2024

Penyatuan dan Kestabilan Kebangsaan menerusi Matlamat Pembangunan Mampan

Matlamat pembangunan mampan (SDG) telah menjadi agenda penting sektor-sektor utama di seluruh dunia demi memastikan kelestarian sumber jangka panjang daripada tunjang sosial, ekonomi, dan alam sekitar. Perlaksanaan SDG di seluruh dunia mencapai kemuncak dan perdebatan berterusan dalam usaha memenuhi keperluan generasi semasa tanpa pengabaian keterjaminan pada masa depan.

Dalam konteks kenegaraan, di samping menjadi asas yang penting dalam usaha memacu kemajuan dan kesejahteraan negara, SDG juga memainkan peranan penting dalam menyatukan dan mengekalkan kestabilan kebangsaan kerana tiga (3) elemen paksi ke arah kerukunan iaitu People (Masyarakat), Prosperity (Kekayaan) dan Partnership (Kerjasama) perlu dihayati dalam kerangka SDG 17 dan SDG 16.

Kemakmuran Ekonomi Teras Kestabilan

Semestinya, penyatuan dan kestabilan kebangsaan mampu disuburkan dengan pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi, sebagaimana yang digariskan dalam SDG 1-membasmi semua bentuk kemiskinan, SDG 2-menghentikan masalah kelaparan dan SDG 8 – menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan, menyeluruh dan lestari, guna tenaga penuh dan produktif serta pekerjaan yang baik untuk semua golongan.

SDG 1, SDG 2 dan SDG 8 dilihat sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani yang baharu sahaja diluncurkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam usaha Malaysia untuk meningkatkan semula pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi.

Dalam usaha untuk membasmi kemiskinan, antara perkara yang menjadi tumpuan dalam kerangka Ekonomi Madani adalah untuk memperjuangkan keadilan sosial dalam meningkatkan darjat hidup rakyat terutama menerusi inisiatif gaji progresif, penerokaan model ekonomi baharu, persediaan negara ke arah ekonomi berteknologi tinggi, peningkatan kemahiran dan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing kurang mahir.

Bee-Modular Box antara usaha UTM menginovasi penyelesaian dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga B40.

Di samping itu, menyedari bahawa Malaysia turut berdepan risiko ketegangan geopolitik global dan perubahan iklim, Kerajaan dilihat akan melipat gandakan usaha-usaha dalam memastikan keterjaminan makanan. Antara usaha yang akan diperkasakan adalah seperti penggunaan teknologi agro dalam meningkatkan hasil, pengaturan perdagangan bebas yang menguntungkan pihak terlibat dan mengoptimumkan penggunaan tanah terbiar.

Teknologi Bersih Penjana Masa Hadapan

Pada masa yang sama, pembangunan mampan bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan, tetapi juga mengambil kira faktor-faktor sosial dan alam sekitar. Ia mencetuskan perbincangan tentang bagaimana sumber daya semula jadi harus diuruskan dengan bijak agar tidak merosakkan alam sekitar dan meninggalkan impak negatif kepada generasi akan datang.

Sumber daya semula jadi negara harus diuruskan dengan bijak agar tidak merosakkan alam sekitar.

Hasrat inilah yang telah digariskan oleh SDG 7 iaitu Kerajaan perlu memastikan akses kepada tenaga mampu milik, boleh dipercayai, lestari dan moden untuk rakyat Malaysia. Inisiatif ini merangkumi penyelidikan dan pembangunan teknologi tenaga bersih, menggiat dan memperluas akses kepada tenaga yang boleh diperbaharui (seperti tenaga solar, biogas dan biojisim) ke segenap pelusuk negara, di samping menggalakkan pelaburan dalam infrastruktur tenaga dan teknologi bersih.

Matlamat ini tidak mustahil untuk dicapai. Sebagai contoh, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), salah satu universiti awam ulung kejuruteraan di negara ini telah diiktiraf sebagai institusi dalam tangga teratas di peringkat antarabangsa bagi SDG 7, menerusi pelan strategik radikal cekap tenaga dan penggunaan tenaga solar di dalam kawasan kampus. Model UTM sebagai universiti lestari yang diiktiraf global boleh dijadikan penanda aras kepada Kerajaan dalam menyebar luaskan inisiatif SDG 7 ini ke peringkat komuniti, industri dan agensi.

Pendidikan dan Inovasi Membina Generasi Madani

Matlamat pembangunan mampan juga merangkumi bidang pendidikan dan peningkatan kemahiran. Pendidikan yang berkualiti tinggi dan akses kepada kemahiran yang relevan memberi peluang kepada rakyat untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara, sebagaimana yang digariskan oleh SDG 4.

Akses pendidikan dan kemahiran dalam kalangan rakyat Malaysia pula perlu diperkasakan dengan membangunkan infrastruktur berdaya tahan, menggalakkan perindustrian menyeluruh dan mampan serta merangsang inovasi, sepertimana yang dihasratkan SDG 9.

Dalam mendepani cabaran-cabaran mendatang, penyelidik-penyelidik UTM menginovasi penyelesaian menerusi penyelidikan berfokus.

 

Keakraban kerjasama UTM bersama pihak industri dalam menyokong agenda SDG menerusi penyelidikan merupakan kekuatan UTM.

 

Sejajar dengan SDG 4 dan SDG 9, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meluncurkan Strategi 4P iaitu Penyediaan Bakat, Penyelidikan dan Inovasi, Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, serta Pengantarabangsaan.

Strategi 4P KPT dilihat mampu membuka lembaran baharu pendidikan tinggi dalam melahirkan bakat terbaik negara yang berpendapatan premium, menginovasi penyelesaian dalam mendepani cabaran-cabaran mendatang menerusi penyelidikan berfokus, ilmu dan teknologi yang memberi manfaat kepada rakyat, serta meletakkan Malaysia sebagai hab bakat, pakar dan cendekiawan di persada global.

Tekad Perpaduan Penuhi Harapan

Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia telah merintis onak dan duri mendepani pelbagai ujian dan cabaran untuk menjadi sebuah negara maju. 66 tahun sebagai sebuah negara sebenarnya boleh dikatakan muda, namun dalam tempoh tersebut kita berjaya membuktikan kepada dunia bahawa kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lebih awal atau telah lama mencapai kemerdekaan.

Kini, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk terus memakmurkan bumi bertuah ini dengan menyepadukan dan mengintegrasikan SDG ke dalam dasar dan polisi yang digagaskan, supaya limpahan manfaat dapat dirasai rakyat terutama daripada aspek, pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

SDG perlu diintegrasi ke dalam dasar dan polisi yang digagaskan supaya limpahan manfaat dapat dirasai rakyat.

 

Mulakan pendedahan kepada SDG di usia awal – antara inisiatif UTM

Tambahan pula, matlamat pembangunan mampan dilihat menjadi tunjang penting sesebuah negara dalam menghadapi cabaran global masa kini seperti perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik antarabangsa, krisis sumber dan tenaga.

Dengan menjadikan matlamat pembangunan mampan sebagai kerangka penyatuan dan kestabilan kebangsaan, kita dapat membina dan memacu Malaysia yang lebih berdaya tahan, saksama, bersatu padu, dan sejahtera untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Explore More