September 19, 2024

Search
Close this search box.

Sinergi UTM, UNJ dan YPKDT jayakan program Pelestarian Kekeluargaan Masyarakat Desa

PONTIAN, 5 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) Melayu Raya telah berpadu tenaga dengan rakan kolaborasi daripada Indonesia, Universitas Negeri Jakarta (UNJ) untuk mengadakan projek libatsama komuniti di Pekan Nanas, Pontian, Johor.

Program sinergi antara pelbagai agensi termasuk universiti luar negara ini memberi manfaat kepada 40 orang wanita dan anak-anak dalam kalangan B40 dan ibu tunggal di sekitar Kampung Melayu Raya, Pekan Nanas ini.

Program ini merupakan salah satu siri bagi Projek Knowledge Transfer Programme-Research Innovation Grant (KTP-RIG) yang bertajuk Pemerkasaan Wanita B40 Dan Ibu Tunggal Di Komuniti Pekan Nanas Melalui Program Pelestarian Kekeluargaan.

Projek ini dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN), Universiti Teknologi Malaysia dan disokong oleh YPKDT, GWS Enterprise dan juga Pusat Komuniti Desa.

Projek ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Fauzi bin Abu @ Hussin, pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM yang juga merupakan felo penyelidik bersekutu di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains & Teknologi (CFiRST).

Projek yang dijalankan bersama Universitas Negeri Jakarta (UNJ) ini ia merupakan satu bentuk latihan kepada golongan Wanita Ibu Tunggal dan Wanita B40 di sekitar kawasan Kampung Melayu Raya mengenai pengurusan dan penggunaan sisa-sisa buangan isi rumah seperti minyak masak terpakai bagi penghasilan sabun dan pembuatan “cookies” dengan menggunakan sisa kulit koko.

Rakan kolaborasi daripada UNJ telah memperkenalkan teknik pembuatan sabun daripada minyak masak terpakai dengan menggunakan arang dalam “ramuan” sabun tersebut. Melalui teknik ini, minyak masak akan mengasingkan lemak makanan dan menjadikannya lebih jernih.

Sabun yang dihasilkan juga akan bebas bau dan sesuai digunakan untuk pelbagai kegunaan terutama mencuci tangan dan perkakasan dapur.

Pensyarah-pensyarah dari UNJ juga telah menyediakan kit pembuatan cookies yang terhasil daripada sisa kulit koko dan mengadakan sesi demonstrasi pembuatan “cookies” coklat kepada peserta.

Pada sesi sebelum ini iaitu pada 24 Jun 2023 lalu, peserta dalam kalangan wanita ini telah didedahkan mengenai pengurusan minyak masak terpakai yang boleh menjana pendapatan sampingan dan memberikan penjimatan kos kepada mereka.

Satu perkongsian ilmu telah disampaikan oleh Dr Noorzana Khamis tentang pencemaran sungai dan parit akibat tidak menguruskan minyak masak terpakai dengan betul dan faedah-faedah serta kebaikan yang boleh diperolehi daripada minyak masak terpakai tersebut.

Rakan kolaborasi UNJ juga turut menerangkan tentang definisi ‘Komuniti Hijau’ dan menggalakkan komuniti wanita ini mengaplikasikannya.

Justeru, pada pertemuan kali ini, komuniti wanita B40 dan ibu tunggal berpeluang untuk menjual minyak masak terpakai yang dikumpulkan kepada rakan kolaborasi industri yang turut serta dalam program KTP-RIG ini. GWS Enterprise yang merupakan rakan strategik program ini berbesar hati untuk membeli minyak masak terpakai yang dikumpulkan dengan harga yang sangat berpatutan.

Ini sekali gus memberikan pendapatan tambahan kepada peserta terutamanya anak-anak yang telah mengumpulkan minyak masak terpakai daripada rumah mereka.

Dengan tawaran harga belian yang lebih tinggi daripada pasaran, hasil jualan minyak masak yang diperoleh sedikit sebanyak memberi wang saku kepada mereka untuk ke sekolah.

Dengan adanya aktiviti dan latihan kepada Wanita Ibu Tunggal dan Wanita B40 di kampung ini, peserta dapat menambahkan pengetahuan mengenai inovasi teknik pembuatan sabun dan cookies daripada sisa buangan isi rumah.

Secara tidak langsung membuka peluang untuk mereka menambah pendapatan dengan menjual produk yang terhasil daripada sisa isi rumah tersebut.

Hasil perbincangan dengan pihak Pusat Komuniti Desa juga menggambarkan persetujuan mereka untuk mengusahakan pusat pengumpulan minyak masak terpakai sendiri bagi memberi ruang kepada penduduk setempat menjual minyak masak tersebut.

Dengan adanya kemudahan ini, ia dapat memberikan manfaat kepada penduduk untuk menjana pendapatan sampingan hasil daripada sisa buangan isi rumah yang mudah diperoleh di sekitar mereka.

Selain daripada aktiviti pengurusan dan penggunaan sisa-sisa buangan isi rumah, dalam program kali ini juga turut diadakan sesi pemantapan dan pengamalan Modul Keluarga Sakinah (MKS) yang diketuai oleh Dr. Aminudin Hehsan.

Sesi ceramah dan perkongsian telah disampaikan oleh Ustaz Haji Afandi, penggerak Sakinah daripada YPKDT. Pengamalan Sakinah ini diharap dapat melestarikan keutuhan keluarga dalam kalangan peserta yang terlibat di samping nilai tambah yang diterapkan dalam keseluruhan program.

Explore More