November 25, 2024

Search
Close this search box.

FSSH jayakan program ibadah korban, serlah manifestasi nilai ISES dalam kalangan warganya

JOHOR BAHRU, 3 Jul. – Sempena meraikan sambutan Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 2023 bersamaan 1444H, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah mengajurkan program Korban dan Berkat FSSH 2023 sebagai satu manifestasi nilai ISES UTM dalam sambutan perayaan yang sinomin dengan konsep pengorbanan dalam islam.

Mengambil iktibar konsep pengorbanan berkenaan dengan niat menyampaikan hasrat dan hajat peserta program yang menyertai ibadah korban pada tahun ini untuk berkorban dan menjamu daging korban berkenaan kepada pelajar dan staf UTM, pihak urusetia telah berusaha menjayakan program ini dengan sebaiknya melalui pendekatan sinergi dalam kalangan staf FSSH, pelajar dan juga beberapa Pusat Tanggungjawab (PTJ) seperti Pusat Islam dan Bahagian Pengurusan Aset, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).

Berpegang pada nilai kecemerlangan dan integriti, pihak urusetia telah menyempurnakan hajat para peserta dengan sebaik mungkin dan dengan penuh amanah. Bermula dengan mengadakan kunjungan ke ladang ternakan lembu di Pontian, dua ekor lembu yang sempurna untuk ibadah korban telah dikenalpasti dan dibuat tempahan.

Program Korban & Berkat ini bermula pada awal pagi apabila menerima kedua2 lembu korban tersebut dengan program gotong royong melapah daging berkenaan. Berdasarkan wakalah program korban yang dipersetujui bersama, setiap peserta akan menerima dua kilo dari daging tersebut dan bakinya 1/3 diberikan kepada mereka yang layak dan untuk majlis makan kenduri di sebelah petangnya.

Seramai 15 orang staf yang layak telah diberikan sedekah daging korban tersebut. Gotong royong melapah daging ini telah disertai seramai 30 orang staf fakulti dan 20 orang pelajar fakulti yang berada di dalam kampus.

Disebelah petang selepas sesi gotong royong memasak nasi beriani, daging beriani dan sup tulang, sesi kenduri makan berdulang telah dimulakan. Semua pelajar dan staf UTM telah dijemput untuk hadir bersama-sama meraikan majlis jamuan dulang perdana ini di sekitar lokasi program iaitu di Outbound FSSH.

Jamuan yang disediakan adalah lebih kurang untuk 1200 orang yang kesemuanya diagihkan dan disaji hanya di lokasi program. Melalui kerjasama pihak Pusat Islam, FSSH telah menyediakan 300 dulang bagi jamuan makanan kepada mereka yang hadir.

Berpegang pada prinsip ISES itu sendiri, program Korban & Berkat FSSH 2023 ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan sempurna. Menerusi konsep Keluarga FSSH Sejahtera dengan tagline Mendidik dan Menginsan – penglibatan para pelajar dalam program ini diharapkan sedikit sebanyak menjadikan program ini contoh terbaik konsep ISES ini dapat diimplimentasikan diperingkat FSSH.

Didoakan semoga ibadah korban para peserta untuk kali ini diterima oleh Allah S.W.T. Berbahagi Korban Berkongsi Keberkatan.

Oleh: Khairull Azmi Bin Ishak & Zaheera Zainal Abidin

#fssheart2023

#KeluargaFSSHsejahtera
#dnafssh

Explore More