SURABAYA, 21 Mei – Seramai 68 orang pelajar terdiri daripada Jawatankuasa Kolej Tun Razak (JKM KTR), UTM dengan kerjasama Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan sampah-sarap di persisiran pantai Ekowisata Mangrove Wonorejo.
Aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan dalam program U-International Surabaya anjuran JKM KTR. Usaha sama antara 2 universiti ini adalah untuk memupuk semangat sukarelawan dan amalan bergotong-royong dalam diri peserta.
Kerjasama ini diperlukan untuk memelihara alam sekitar terutamanya hutan paya bakau yang banyak memberikan manfaat kepada ekosistem sungai dan penduduk setempat.
Peserta bertolak dari Flamboyan Guest House, ITS pada jam 7.30 pagi dengan menaiki motosikal dan tiba di kawasan Ekowisata Mangrove Wonorejo pada jam 8.00 pagi.
Untuk menuju ke kawasan pembersihan di persisiran pantai hutan paya bakau, peserta perlu menaiki boat dengan perjalanan yang mengambil masa lebih kurang selama 15 minit.
Aktiviti gotong-royong berlangsung selama satu jam dengan para peserta diberikan sepasang sarung tangan sebelum kerja pembersihan dimulakan.
Aktiviti gotong-royong dimulakan semasa air surut iaitu pada jam 8.30 pagi dan berhenti pada jam 9.30 pagi disebabkan air pasang telah melebihi paras kaki peserta.
500 kg hasil kutipan sampah yang telah dibersihkan oleh peserta di kawasan persisiran pantai Mangrove Wonorejo
Setelah selesai aktiviti bergotong-royong, para peserta meneruskan aktiviti dengan mendengar sedikit taklimat berkenaan tentang sejarah Ekowisata Mangrove Wonorejo daripada Encik David, wakil pekerja hutan paya bakau Wonorejo.
Katanya, kawasan ini mula dibuka kepada orang awam pada 1 Januari 2010. Pada awalnya, kawasan pemuliharaan alam ini dengan luas sekitar 200 hektar diwujudkan untuk mencegah abrasi iaitu pengikisan tanah di pesisiran pantai yang disebabkan oleh ombak dan arus laut di wilayah Timur Kota Surabaya.
Hutan paya bakau juga boleh melindungi kawasan daratan dengan bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap angin ribut taufan.
Pokok paya bakau yang ditanam terdiri daripada jenis Avicennia Alba Blume, Nypa Fruticans danExcoecaria Agallocha. Selain itu, terdapat juga jenis tumbuhan lain iaitu pokok Api-Api, pokok Berembang, dan pokok Ketapang.
Kera merupakan antara haiwan yang mudah ditemui disini serta terdapat 80 jenis spesies burung eksotik yang jarang ditemui seperti burung Puchong Merah, burung Bangau Paya, dan burung Punai Gading.
Tambahnya lagi, disebabkan lokasi ini terjaga dengan baik oleh penduduk setempat telah membuatkan pemerintah Kota Surabaya membuka kawasan hutan paya bakau ini kepada orang ramai sebagai kawasan ekopelancongan di daerah Surabaya.
Selain itu, kawasan pejalan kaki di mangrove ini diperbuat daripada jenis pokok Buluh Betung. Buluh ini dipilih kerana cirinya yang paling kuat dan besar berbanding jenis buluh yang lain.
Buluh digunakan sebagai salah satu ciri tarikan pelancongan di Ekowisata Mangrove Wonorejo ialah kerana ianya disifatkan mampu tahan dengan keadaan cuaca yang sentiasa panas di Surabaya serta buluh tidak mudah rosak apabila terkena panahan petir sewaktu hujan lebat.
Peserta mendengar taklimat ringkas berkenaan Ekowisata Mangrove Wonorejo dari Encik David
Pembersihan sampah di persisiran pantai Ekowisata Mangrove Wonorejo ini dilakukan pada setiap hari dengan usaha sama daripada penduduk setempat di Surabaya kerana jumlah sampah yang sentiasa terperangkap di hutan paya bakau ini boleh mencecah sehingga puluhan tan dalam masa sehari.
Hal ini disebabkan oleh sungai Mangrove Wonorejo merupakan hilir kepada arus sungai Jawa Timur. Sampah yang berasal dari pelbagai tempat di Surabaya yang dibawa dari hulu sungai telah menyebabkan hutan paya bakau ini tidak berhenti menerima sampah-sarap terutamanya sisa plastik pada sepanjang tahun.
Peserta diberikan masa lebih kurang 15 minit untuk berjalan-jalan dan mencuci mata melihat keindahan alam flora dan fauna yang tersergam indah di Ekowisata Mangrove Wonorejo ini.
Peserta bergerak pulang ke ITS pada jam 10.00 pagi untuk merehatkan diri di Guest House sebelum menyambung aktiviti U-International Surabaya yang seterusnya.
Oleh : Nurin Jazlina Binti Masdan