April 28, 2024

Search
Close this search box.

Penubuhan makmal satelit UTM-JTU Sabah rancakkan lagi penyelidikan bidang Geoinformasi dan Harta Tanah

Oleh : Dr Wan Anom Wan Aris

KOTA KINABALU, 1 Feb. – Selaras dengan Pelan UTM enVision melalui Strategic Priorities 5 iaitu Nurture strategic nexus between university-industry-goverment-community ecosystem to sustain university growth, UTM telah mengorak langkah yang progresif dengan menjalankan kerjasama dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, menerusi perkongsian dan pemindahan ilmu, teknologi serta inovasi dalam bidang Geoinformasi dan Harta Tanah.

JTU Sabah merupakan sebuah agensi primer di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah yang menerajui pengurusan dan pentadbiran tanah di Sabah. Antara bidang kuasanya adalah perkara berkaitan tanah, ukur, pembangunan tanah, penilaian dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Sabah Land Ordinance Cap 68.

Bagi mempererat kerjasama UTM-JTU Sabah, sebuah Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) telah diadakan pada 1 Februari 2023 di mana acara ini juga merupakan julung kalinya dibuat melibatkan kedua-dua belah pihak.

MoU ini diharap mampu menghadirkan kelebihan konsep menang-menang buat kedua-dua belah pihak melalui pemindahan ilmu dan teknologi kepakaran oleh UTM, manakala perkongsian pengalaman pentadbiran dan pengurusan oleh pihak JTU Sabah.

Majlis ini telah disaksikan sendiri oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar bin Utong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah di mana kedua pihak telah menandatangani MoU diwakili oleh YBhg. Prof Datuk Ir. Ts. Dr Ahmad Fauzi bin Ismail, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia dan Datuk Sr Bernard Liew Chau Min selaku Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Sabah. Turut sama hadir adalah Prof Sr Dr Kherun Nita binti Ali, Dekan Fakulti Alam Bina & Ukur, para pegawai daripada JTU Sabah dan UTM.

Sesi menandatangai MoU antara JTU Sabah dan UTM; (dari kiri hadapan) Timbalan Pengarah JTU Sabah, Tuan Wabap bin Kanak @ Saifudin; Pengarah JTU Sabah, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min; Naib Canselor UTM; Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail; dan Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM, Prof. Sr Dr Kherun Nita binti Ali, (dari kiri belakang) Pegawai Division Survei, Tuan Saat bin Durasit; Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; dan Pengarah Geoinformasi, Prof. Madya Sr Dr Tajul Ariffin bin Musa.

Pemeteraian MoU ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama dan perlaksanaan beberapa aktiviti bersama yang pernah dianjurkan. Antaranya yang terkini adalah transformasi pengukuran melalui penggunaan teknologi Global Navigation Satellite System (GNSS) dan Continuously Operating Reference Stations (CORS), serta menubuhkan Sabah Geocentric Datum 2020 (SGD2020) untuk pengukuran tanah, khasnya di Sabah.

Sesi pertukaran MoU bagi kedua-dua pihak; JTU Sabah dan UTM. Disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.

Melalui MoU tersebut, pihak UTM dan JTU telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai aktiviti akademik dan buka akademik. Suatu infrastruktur penyelidikan iaitu makmal satelit akan disediakan bagi merancakkan pelbagai aktiviti berinovasi dan R&D, latihan industri dan pendidikan berterusan, perkongsian fasiliti dan pengalaman staf, serta pelbagai lagi kolaborasi yang strategik di antara kedua pihak.

Aktiviti makmal satelit ini juga dapat dilihat sebagai pemangkin untuk jalinan hubungan antara Universiti – Agensi – Industri – Komuniti di UTM dan di Sabah.

Para hadirin di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Sabah.
Wakil FABU UTM yang diketuai oleh Naib Canselor UTM; Prof. Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Dekan FABU, Prof. Sr Dr Kherun Nita binti Ali.

Explore More