Oleh: Dr Othman Zainon, Dr Syamsul Hendra
KULAI, 29 Jan. – Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (FABU UTM) dengan kerjasama Pusat Jaringan Industri dan Komuniti serta Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Kulai telah melaksanakan program menceriakan bilik pembelajaran abad ke-21 (PAK21) melalui pendekatan landskap kejur.
Program ini telah dilaksanakan selama sebulan mulai Disember 2022 hingga Januari 2023 dengan tujuan untuk menceriakan bahagian dinding bilik pembelajaran PAK21 dengan lukisan mural berasaskan pada ilmu Sains, Sosial dan Alam Sekitar. Lukisan mural telah dilukis dan diwarnai mengikut tema seperti sistem suria dan sistem pengangkutan di Malaysia.
Program ini melibatkan dua orang pensyarah FABU, Pengarah CCIN Prof Madya Dr Johari Surif, 14 orang staf CCIN dan 30 orang pelajar UTM. Di samping itu, guru-guru dan pelajar SMPK Vokasional Kulai, juga turut membantu kerja-kerja keceriaan bilik pembelajaran PAK21 tersebut.
Program juga turut melibatkan aktiviti pemindahan ilmu oleh Dr. Syamsul Hendra berkaitan perlaksanaan projek dengan memberi penerangan berkenaan warna-warna yang sesuai digunakan bagi menceriakan lagi bilik pembelajaran tersebut yang berasaskan PAK21. Keceriaan ini juga perlu berpusatkan pelajar, dengan berteraskan elemen komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis, kreativiti serta aplikasi nilai murni dan etika.
Hasil lukisan mural tersebut dapat dlihat melalui sentuhan pemikiran kepakaran UTM dan pelajar bagi menghasilkan satu transformasi bilik pembelajaran yang berasaskan PAK21. Diharapkan projek ini dapat memberi suasana yang baru dalam penerapan PAK21 yang berteraskan kepada pelajar.