April 28, 2024

Search
Close this search box.

Kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi cerakin potensi UTM sebagai hab ‘Inovasi Penyelesaian untuk Kesejahteraan’

Oleh: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

JOHOR BAHRU, 6 Feb. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan delegasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sempena program lawatan kerja ke Universiti Awam (UA) seluruh negara hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, YB Cik Norlizah Noh; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Azman Hj. Mokhtar; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Husaini Omar, pengurusan kanan UTM dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM.

Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail dengan penerangan kemajuan dan hala tuju UTM bertemakan “Menginovasi Penyelesaian untuk Kesejahteraan Manusia”.

“Bagi menyahut 11 Aspirasi Amanat YB Menteri, UTM akan mengambil pendekatan radikal dan pragmatik, yang diterjemahkan menerusi enVision Moonshot yang berfokus kepada melahirkan graduan berkualiti berorientasikan masa hadapan, menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui penyelidikan terfokus, mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka dan memanfaatkan teknologi menggunakan pendekatan quadruple helix.

“Kita berada di landasan tepat memandangkan UTM sudah mencapai kebolehpasaran graduan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 97.9%, dengan 31% daripada graduan UTM memperoleh gaji premium.

“Untuk mencapai hasrat UTM sebagai hab ‘Inovasi Penyelesaian untuk Kesejahteraan’, UTM akan menerajui dan memperkasa bidang-bidang kebitaraan seperti yang terangkum dalam Corporate Niche Strategy “Fantastic 4” iaitu Robot, Water, Material dan Energy dengan peruntukan RM 4.4 juta, disokong oleh Geran Flagship CoE/RG sebanyak RM 1.6 juta.

“Selain itu, UTM juga akan meneroka empat lagi bidang kebitaraan baharu di bawah inisiatif Fantastic 4+ iaitu Digitalization, Natural Resources & Spiritual Tech, Agriculture Tech & Food Security dan Affordable Housing dengan jangkaan peruntukan sebanyak RM 5 juta,” jelas Prof. Ahmad Fauzi.

Sementara itu, Dato’ Seri Khaled Nordin dalam ucapannya berkata, “KPT amat mengalu-alukan pelan dan hala tuju  yang telah digariskan UTM dalam usaha untuk melonjakkan lagi kecemerlangan sektor pendidikan tinggi.

Tagline baharu UTM, ‘Innovating Solutions’ atau Menginovasi Penyelesaian  menjadi satu kerangka dalam memposisikan UTM sebagai universiti peneraju terkemuka dalam teknologi dan kejuruteraan terutama dalam memperkasakan lagi bidang-bidang seperti data raya (big data), data analitik (analytical data) dan internet of things (IoT).

“Tahniah juga diucapkan kepada UTM kerana dilihat amat giat dalam memperhebat projek-projek penyelidikan inovasi sosial yang memberi impak dan manfaat kepada komuniti dan industri di seluruh negara.

“Saya juga mahu melihat jalinan kerjasama pendidikan tinggi dengan negara-negara maju seperti Jepun untuk terus dipergiat. Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT) UTM menjadi antara contoh terbaik dalam memacu kecemerlangan jalinan kerjasama pendidikan tinggi merentas sempadan. Tambahan pula, Kerajaan Jepun akan melaksanakan satu projek penyelidikan perubahan iklim di Selat Melaka, dan saya memang melihat UTM sebagai antara universiti yang sesuai dalam kerangka kerjasama projek penyelidikan peringkat antarabangsa ini.

“Selepas ini, saya mahu kecemerlangan UA dinilai bersandar kepada penanda aras universiti-universiti yang telah terbukti cemerlang berlandaskan acuan mereka sendiri seperti National University of Singapore (NUS) dan Nanyang Technological University (NTU). Penyelidikan yang dijalankan perlu bersifat merentas disiplin (multidisciplinary) bukan lagi bersifat fundamental, sekali gus menjadi ilmu baharu untuk dimasukkan dalam kurikulum, juga diambil dan dilaksanakan sebagai dasar-dasar kerajaan,” ulas Dato’ Seri Khaled Nordin.

Dalam lawatan kerja tersebut, delegasi KPT juga berkesempatan untuk meninjau pameran UTM Research Open Day yang bertemakan “Innovating Solutions through Advanced Technology”. Sesi ini mempamerkan penyelidikan yang memberikan impak kepada komuniti dan industri serta pelancaran “UTM Corporate Research Niche”.

Kunjungan rasmi ini diakhiri dengan lawatan di Galeri UTM dimana Dato’ Seri Khaled turut melancarkan program Pelancaran Pelaksanaan Pengurusan Bakat berasaskan Kompetensi UTM, ianya merupakan program yang bermatlamat untuk mengurus dan membangunkan bakat berteraskan konsep Malaysia MADANI.

 

 

 

Explore More