November 26, 2024

Search
Close this search box.

Tiga Atlet UTM Gegar Arena SUKMA 2022, Bantu Harimau Selatan Dahului Kutipan Pingat

KUALA LUMPUR, 19 Sept. – Tiga atlet Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mewakili Johor dalam Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 edisi ke-20 berjaya mempamerkan kecemerlangan dengan menggondol pingat emas dalam acara masing-masing.

Pelajar prasiswazah Sains Sukan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) UTM, Puspa Letchumy A/P Jaintheran mempamerkan aksi cemerlang dengan memperoleh pingat emas dalam acara 5000 meter (wanita) dan lari berhalangan 3000 meter (wanita) , masing-masing dengan catatan masa 18:55.98 dan 11:52.52. Beliau juga turut mendapat pingat gangsa dalam acara 1500 meter (wanita).

Puspa Letchumy memenangi emas dalam acara 5000 meter (wanita). – Gambar: FB MSNJ

Puspa Letchumy meraih emas dalam acara lari berhalangan 3000 meter (wanita). – Gambar: FB MSNJ

Sementara itu, Mohamad Amirul Arif Mohd Azri, pelajar prasiswazah dari FSSH UTM turut mencipta nama apabila berjaya menggondol pingat emas dalam acara 1500 meter (lelaki) dengan catatan masa 4:02.64. Bersama rakan sepasukan yang lain, Amirul Arif telah membantu kuartet 4 x 400 meter (lelaki) Johor memenangi pingat emas. Beliau turut memperoleh pingat perak dalam acara 800 meter (lelaki).

Amirul Arif memperoleh emas dalam acara 1500 meter (lelaki). – Gambar: FB MSNJ

Turut mengikut jejak kecemerlangan Puspa dan Amirul adalah Nur Syafika Natasya Kadir, juga daripada FSSH UTM yang cemerlang bersama rakan-rakan sepasukan untuk meraih pingat emas dalam acara berbasikal lebuh raya berpasukan wanita.

Nur Syafika Natasya bersama rakan sepasukan membantu Johor memenangi emas dalam acara berbasikal lebuh raya berpasukan wanita. – Gambar: FB MSNJ

Kecemerlangan tiga atlet UTM telah membantu kontinjen Harimau Selatan mendahului pungutan pingat keseluruhan dalam temasya SUKMA. Sehingga semalam (18 September 2022), kontinjen SUKMA Johor telah meraih 29 pingat emas, 18 pingat perak dan 13 pingat gangsa, sekali gus unggul mengatasi kontinjen negeri-negeri lain.

Aksi Amirul Arif bersama rekod catatan masa miliknya dalam acara 1500 meter (lelaki). – Gambar: FB MSNJ

Explore More