November 25, 2024

Search
Close this search box.

Oleh: Ir. Dr. Mohd Azman Abas, Prof. Madya Ir. Dr. William Chong Woei Fong & Prof. Madya Ir. Dr. Sitti Asmah Hassan

Penyunting: Mohd Fadthul Ikmal Misnal

Industri automotif di peringkat global sudah mula berkira-kira untuk membangunkan teknologi swapandu secara intensif sejak tahun 2013. Persaingan antara gergasi automotif dunia seperti Mercedes Benz, Ford dan General Motors merancakkan lagi ujian demi ujian terhadap teknologi swapandu ini.

Kenderaan swapandu (autonomous vehicle, AV) direka bentuk untuk mempunyai kemampuan mengesan keadaan dan situasi persekitaran bagi pemanduan yang lebih selamat. Kombinasi penggunaan peranti-peranti seperti GPS, radar, sonar dan odometri juga memungkinkan kenderaan swapandu untuk lebih efektif mengesan halangan dan papan tanda jalan raya, serta mengukur jarak.

Simulasi AV yang mampu mengesan halangan daripada kemalangan. – Gambar: ADC UTM

Ketika negara-negara seperti Amerika Syarikat, Eropah malah jiran terdekat kita, Singapura dilihat sudah bersedia untuk memasuki era teknologi kenderaan swapandu, status kesediaan negara kita masih menjadi tanda tanya. Pakar automotif Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ir. Dr. Mohd Azman Abas ketika ditemui berkata, “Malaysia sebenarnya agak ketinggalan dengan negara-negara tersebut, namun sekurang-kurangnya sudah ada ujian kenderaan swapandu yang telah dijalankan.”

“UTM juga telah diberi mandat oleh Futurise, sebuah syarikat yang bertindak sebagai penasihat dasar dan polisi di bawah Kementerian Kewangan (MOF) untuk merangka satu garis panduan ujian pemanduan kenderaan swapandu, yang mana garis panduan tersebut telah diiktiraf sebagai garis panduan yang perlu diikuti oleh mana-mana syarikat yang berhasrat untuk menguji kenderaan swapandu di Malaysia.” tambah beliau lagi.

Simulasi AV yang berkemampuan mematuhi halaju dan bonggol jalan raya. – Gambar: ADC UTM

Sebagai rekod, eMoovit Technology Sdn Bhd (eMoovit) merupakan syarikat pertama yang telah diberikan kebenaran oleh Futurise untuk menjalankan ujian pemanduan kenderaan swapandu di Laluan Ujian MyAV Cyberjaya, dengan mengguna pakai garis panduan yang telah dirangka pakar penyelidik UTM dari Pusat Pembangunan Automotif (ADC), Sekolah Kejuruteraan Mekanikal (SKM).

Ketika ditanya harapan untuk melihat perkembangan teknologi kenderaan swapandu di Malaysia, Dr. Mohd Azman berkata, “saya berharap kita mampu untuk merealisasikan hasrat untuk melihat kenderaan swapandu di jalan raya kita, selewat-lewatnya 10 tahun dari sekarang.”

Model jalan raya turut disimulasi berdasarkan laluan berbukit menuju Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. – Gambar: ADC UTM

Selain Dr. Mohd Azman, penyelidik UTM yang turut terlibat dalam merangka garis panduan ujian pemanduan kenderaan swapandu adalah Prof. Madya Ir. Dr. William Chong Woei Fong selaku Timbalan Pengarah ADC UTM dan Prof. Madya Ir. Dr. Sitti Asmah Hassan selaku pakar rujuk dalam bidang kejuruteraan pengangkutan dan trafik, dari Sekolah Kejuruteraan Awam UTM.

Sebahagian daripada pasukan penyelidik ADC UTM yang terlibat dalam merangka garis panduan ujian pemanduan kenderaan swapandu di Malaysia.

Explore More