Disediakan oleh Mr. Akmal Ayob, Dr. Syafiqah Saidin & Mr. Azren Azrey
JOHOR BAHRU, 25 Ogos – EPI Academy Sdn. Bhd. (EPI) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi mengukuhkan kerjasama strategik dalam sektor kejuruteraan perubatan.
Majlis menandatangani MoU tersebut telah diadakan di Fakulti Kejuruteraan, UTM Kampus Johor Bahru dengan kedua-dua pihak diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias dan Pengarah Akademik EPI, Prof. Ts. Dr. Jasmy Yunus.
Antara bidang kerjasama yang akan dilaksanakan melalui memorandum ini adalah bidang penyelidikan kejuruteraan perubatan, latihan pensijilan profesional serta pertukaran staf dan pelajar.
Pengarah Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM, Dr. Syafiqah Saidin yang juga merupakan pegawai bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan kerjasama persefahaman ini amat mengalu-alukan kehadiran pihak EPI Academy selaku rakan industri yang dilihat dapat mengukuhkan sektor pendidikan dalam bidang kejuruteraan perubatan di Malaysia terutamanya dalam kolaborasi penyelidikan.
Prof. Ts. Dr. Jasmy dalam ucapannya pula turut menyatakan bahawa kerjasama antara EPI dan UTM telah berlangsung sejak tahun 2016 lagi apabila EPI menjalankan program kerjasama kemahiran bersama Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan dalam program Graduate Employability (GE) bagi mencapai tahap 100% graduan bekerja. Beliau mengalu-alukan kerjasama akan datang melalui kolaborasi penyelidikan untuk menyelesaikan dan menambah baik infrastruktur dan sistem kejuruteraan perubatan.
Prof. Dr. Rosli turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada Pusat Kardio IJN-UTM dan iHumEn atas kerjasama strategik yang dijalankan bersama EPI. Disamping itu, beliau berharap agar memorandum persefahaman ini dapat disusuli dengan program-program yang telah dirancang. Prof. Rosli mengucapkan terima kasih kepada EPI kerana bersedia menjadi rakan kolaborasi UTM melalui perkongsian pandangan dari sudut keperluan industri.
Turut hadir semasa sesi menandatangani memorandum adalah Pengarah Institut, Institute of Human Centered Engineering, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, Pengarah Strategik & Pematuhan EPI Academy, Dr. Annathurai Ranganathan, Pengurus Operasi EPI Academy, En. Heman Babu, Pengurus Latihan EPI Academy, Pn. Syifa Mohamad Zaki, Timbalan Pengarah Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM, Dr. Hau Yuan Wen, Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Dr. Ahmad Zahran Md Khudzari, dan Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran, Dr. Syaidah Md Salleh.
Wakil lain-lain dari Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, usat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM dan iHumEn pula adalah Prof. Madya Dr. Azli Yahya, Prof. Madya Dr. Maheza Irna Mohamad Salim, Prof. Madya Dr. Tan Tian Swee, Dr. Norhana Jusoh, Mr. Muhammad Akmal Ayob, Mr. Azren Azrey Mohd Hashim, Mrs. Aminatul Balqis Mohammad Azahari, Mrs. Nurmira Yaccob dan Mrs. Sufi Syuhadah Supian.