April 29, 2024

Search
Close this search box.

SKUDAI, 25 Ogos – “Apabila diberi amanah, jadilah seorang ketua yang bertanggungjawab”, ujar Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail ketika mengulas isi kandungan buku “The Orange Revolution: How One Great Team Can Transform an Entire Organization” karya Adrian Gostick dan Chester Elton dalam program Read & Relax siri 13/2022, bertempat di Starbucks R&R Skudai (Southbound).

Tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi, karya ini dilihat mampu menjadi penanda aras transformasi sesebuah organisasi memandangkan ia ditulis berdasarkan dapatan daripada 350, 000 responden seluruh dunia. Secara tidak langsung, buku ini ditulis berdasarkan penyelidikan dan tinjauan, menjadikan ia satu karya yang dilihat mendapat kepercayaan yang tinggi.

Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail (kiri) dan Dr. Muhammad Abd. Hadi Bunyamin (kanan) selaku barisan panel program Read & Relax, manakala Puan Syaza Soraya Sauli (tengah) bertidak sebagai moderator.

“Sebagai Naib Canselor, semestinya saya perlu merangka dan menubuhkan pasukan yang baik (create a good team), seterusnya mentransformasi UTM menjadi universiti yang mempunyai reputasi tinggi di peringkat global.

Beliau juga turut mengingatkan barisan pentadbir akademik dan pusat tanggungjawab (PTJ) UTM untuk melaksanakan dasar universiti berorientasikan tindakan (action-oriented) dengan memastikan mereka “walk the talk” dan  “just do it, when you mentioned it”.

Menyentuh mengenai salah satu bab dalam buku tersebut, beliau turut menekankan mengenai elemen kesetiaan (loyalty), kepercayaan (trust), perkongsian tanggungjawab (responsibility sharing), kebersamaan (togetherness), dan libat sama (engagement) untuk diimplementasikan dalam budaya korporat universiti.

“Penting untuk pasukan saya untuk mempunyai sikap kebertanggungjawaban (akauntabiliti) yang tinggi terutama berani menegur kesilapan sekiranya saya membuat keputusan yang salah dan boleh memberi kesan kepada organisasi,” tegas beliau lagi.

Sesi Read & Relax siri 13/2022 sedang berlangsung.

Sementara itu, seorang lagi panel dalam program ini, Dr. Muhammad Abd. Hadi Bunyamin, Penyelidik Eksekutif Pejabat Naib Canselor UTM, turut mengulas buku “Emotional and Spiritual Quotient (ESQ)” karya Ary Ginanjar Agustian.

“Karya ini memberikan kesan yang amat mendalam, apabila penulisnya memberikan nilai tinggi kepada amalan-amalan yang pada kita dilihat kecil, seperti amalan memberi salam, senyum dan berterima kasih”, ulas beliau.

“Malah, buku ini turut memberi impak dalam pembentukan karakter saya sebagai seorang ayah yang prihatin. Sehingga kini, sekiranya saya mendapat rezeki lebih, menjadi tabiat saya untuk turut meraikannya bersama isteri dan anak-anak yang menjadi tulang belakang perjalanan kerjaya saya”, ujar beliau yang dilihat sedikit sebak.

Program Read & Relax Siri 13/2022 merupakan inisiatif Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Starbucks (Skudai) dan UTM Toastmasters Club. Program ulasan karya yang dianjurkan secara santai ini turut menampilkan Puan Syaza Soraya Sauli, pelajar PhD Psikologi Pendidikan, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan UTM sebagai moderator. Program turut dihadiri pegawai-pegawai kanan, staf akademik dan profesional UTM.

Gambar kenang-kenangan Datuk Naib Canselor dan Dr. Muhammad Abd. Hadi bersama pegawai Perpustakaan UTM dan pengurusan Starbucks.

Explore More