April 29, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: PM ChM. Dr. Mohd Bakri Bakar & PM Dr. Normah Maan

Komitmen Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam usaha peningkatan kualiti pendidikan dan perkhidmatan akademik terus diiktiraf dengan terpilih sebagai juara Anugerah Kualiti Akademik UTM. Anugerah tersebut diberikan semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Penghargaan Citra Karisma UTM yang berlangsung pada 20 Julai 2022.

Kejayaan tersebut meneruskan siri-siri kecemerlangan kualiti akademik sebelum ini yang menandakan program dan sistem pengurusan akademik Fakulti kekal berkualiti tinggi. Menurut Dekan Fakulti Sains UTM, Prof. ChM. Dr. Zaiton Abdul Majid, penyampaian produk dan perkhidmatan akademik Fakulti yang berkualiti secara bersistematik ini merupakan hasil sinergi daripada seluruh keluarga Fakulti Sains.

Menurut beliau lagi, Fakulti Sains turut berbangga kerana polisi, sistem, proses dan sumber akademik Fakulti adalah selaras dengan keperluan strategik Universiti, menjadi amalan terbaik sebagai rujukan pihak lain serta patuh kepada piawai akreditasi. Fakulti Sains juga mempunyai Jawatankuasa khas Jaminan Kualiti Dalaman bagi memantau pelaksanaan kualiti bagi setiap aktiviti pembelajaran dan pengajaran dengan keutamaan pengurusan dibahagikan kepada empat bahagian fungsi iaitu kecemerlangan akademik, pemantauan program akademik, pengurusan sistem akademik dan pangkalan data. Fakulti juga turut memanfaatkan kemudahan digital, misalnya dalam sistem pengurusan fail kursus.

Sebagai rekod, Fakulti Sains menawarkan program dalam bidang asas serta aplikasi sains dan matematik beserta gabungan kekuatan dalam rumpun bidang sains fizikal, sains hayat dan rentas bidang mengikut keperluan abad ke-21. Kesemua agenda pembangunan program akademik yang berkualiti telah berjaya disampaikan melalui pemerkasaan pembelajaran dan pengajaran yang inovatif serta efektif, bertunjangkan penghasilan graduan yang kompeten dan holistik.

Menjadi polisi Fakulti Sains juga untuk sentiasa memperkasakan pencapaian matlamat pendidikan yang sempurna dan berkesan, dengan memenuhi keperluan pemegang taruh serta beradaptasi dengan ekosistem akademik yang dinamik dan kompetitif. Dengan itu, Fakulti turut menyediakan persekitaran kondusif bagi pertukaran ilmu pengetahuan, pandangan dan idea inovatif yang telah menghasilkan program pendidikan berimpak tinggi seperti MyRoadmap, UVIS, UGRP, “Living Lab”, “Biocompost Lab” dan “Virtual Lab”.

Seterusnya bagi memacu kecemerlangan UTM, Fakulti Sains akan terus memajukan program akademik berbentuk hibrid dan fleksibel UTMHyFlex® selaras dengan keperluan dan dinamika pendidikan semasa. Hasrat ini berupaya memperkasakan penyebaran dan translasi ilmu sains dan matematik daripada Universiti supaya manfaatnya dapat mensejahterakan kehidupan.

Sebagai akhirnya, Prof. ChM. Dr. Zaiton Abdul Majid merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua staf dan pelajar keluarga Fakulti Sains yang telah bersama-sama menyumbang terhadap kejayaan menerima pengiktirafan tertinggi Universiti ini. Menjadi harapan semoga kecemerlangan ini terus diterjemahkan dalam praktis seharian bagi memastikan perkhidmatan Fakulti terus cemerlang.

Tahniah Fakulti Sains!

Explore More